PENGUMUMAN

Kami telah berpindah ke laman web yang baru (www.dapperak.org)
Harap maklum.

DAP Perak Aktiviti

Selasa, 27 September 2011

Penduduk Pusing Mengadu Lori Pasir Dalam Kawasan Taman.



Kenyataan Akhbar YB V.Sivakumar, ADUN Kawasan Tronoh, pada 26/9/2011 di Pusing, Batu Gajah.



Penduduk Pusing Mengadu Lori Pasir Dalam Kawasan Taman.

Penduduk Taman Pusing Baru mengadu bahawa banyak lori pasir yang menceroboh kawasan itu kerana projek perumahan berhampiran dengan Taman itu  yang bersempadan dengan Kampung Pinang B. Mereka mengadu bahawa lori-lori pasir memasuki kawasan projek  itu melalui jalan-jalan di Taman Pusing Baru. Masalah ini timbul sejak 4 hari yang lepas. Satu projek perumahan telah dimulakan dikawasan itu yang melibatkan pembinaan lebih kurang 94 unit rumah.  
Penduduk Taman Pusing Baru mengadu bahawa jalan-jalan taman itu menjadi kotor  kerana dipenuhi dengan tanah dan pasir di merata tempat. Tambahan pula debu dan habuk berterbangan  dan memasuki rumah yang berhampran.  Rumah dan kereta mereka menjadi kotor dan perlu dibersihkan dan dicuci lebih kerap lagi. Selain daripada itu, orang ramai juga bimbang terhadap keselamatan pengguna jalan dan kanak-kanak yang bermain pada waktu petang. 






Menurut penduduk, setiap hari berpuluh-puluh lori masuk satu  dan keluar  satu  demi satu  ke kawasan taman itu juga mengakibatkan pencemaran bunyi yang keterlaluan.  Ini menjadi gangguan kepada orang-orang tua dan bayi-bayi di taman itu. Dipercayai lori-lori ini akan beroperasi untuk satu tempoh masa  yang lama bagi meninggikan paras tanah rendah di kawasan itu. Ini mungkin melibatkan beratus-ratus  lori  yang membawa tanah akan memasuki kawasan taman ini sebelum kerja-kerja  pembinaan rumah dimulakan. 





V.Sivakumar, ADUN Kawasan Tronoh bersama-sama dengan bekas Ahli Majlis Batu Gajah Chan Chin Fah dan Vijakumar telah melawat tapak projek dan kawasan taman yang terlibat.  Penduduk taman itu telah membuat aduan terus kepada wakil-wakil DAP ini. 








V.Sivakumar telah melaporkan perkara ini kepada pihak Majlis Daerah Batu Gajah dengan serta merta untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.  Pihak Majlis harus mencari jalan penyelesaian untuk membantu penduduk-penduduk yang membuat aduan ini. Dicadangkan supaya membuka satu jalan baru ke tapak projek tanpa melalui jalan-jalan taman itu.



YB V.Sivakumar
ADUN Tronoh

Khamis, 22 September 2011

YB V.Sivakumar : Tangan-tangan Hitam di Hutan Belum






Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh, Timbalan Pengerusi DAP Perak di Ipoh pada  21/9/2011.

Tangan-tangan Hitam di Hutan Belum


Baru-baru ini masalah mendogolkan hutan simpanan menjadi satu isu yang besar di Negeri Perak. Siapakah diantara ‘tangan-tangan hitam’ yang terlibat dalam pembalakan haram dan pembersihan hutan ini? Sungguh pelik kalau pihak kerajaan negeri tidak mengetahui aktiviti-aktiviti haram yang berlaku dengan begitu berleluasa. Adakah pemimpin-pemimpin kerajaan negeri itu buta? Atau pura-pura menjadi pekak apabila isu ini dibangkitkan? Adalah mustahil untuk aktiviti-aktiviti haram ini dilakukan tanpa pengetahuan dan restu daripada kerajaan negeri.

Isu membersihkan hutan seluas 74ha di Belum-Temenggor Forest Complex (BTFC)  menjadi hangat apabila perkara ini didedahkan oleh salah satu media tempatan. Sungguh menakjubkan apabila Menteri Besar Perak, Dato Seri  Zambry Abl Kadir membuat kenyataan akhbar seolah-olah beliau tidak mengetahui tentang perkara itu. Beliau memberi arahan untuk menyiasat sedalam-dalamnya mengenai aktiviti membersihkan hutan tersebut. Zambry berkata beliau tidak akan bertolak ansur sebarang  penyalah gunaan malah beliau komited untuk melindungi alam semulajadi terutamanya Hutan Belum. Beliau juga dalam kenyataanya mengatakan bahawa Hutan Belum adalah kawasan yang dilindungi dan merupakan tanah yang telah digazetkan sebagai hutan. Kenyataan beliau ‘bagai udang dalam tanggung’ itu sudah pasti tidak dapat diterima sewenang-wenangnya oleh orang-orang yang rasional.

Zambry sebagai Menteri Besar Perak harus berasa malu jika benar perkara ini berlaku diluar pengetahuan beliau. Siapakah yang berani  ceroboh memasuki dan membersihkan hutan simpanan yang dilindungi oleh kerajaan? Zambry cuba memperbodohkan rakyat Perak apabila isu ini dibongkarkan. Bagaimana perkara ini boleh berlaku tanpa pengetahuan pihak Pejabat Tanah dan Daerah Grik, Majlis Daerah Grik, Jabatan Perhutanan dan agensi-agensi kerajaan yang lain? Kerajaan negeri sudah terjebak dan harus mengambil tanggungjawab dan menyelesaikan masalah yang timbul. Ini adalah kerana hutan-hutan khazanah negeri ini dimusnahkan oleh ‘tangan-tangan hitam’yang sudah tentu mereka mengetahui identitinya.

Tanah ini sebelumnya dimiliki oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak. Tetapi ia telah dipindah milik semula kepada Kerajaan Negeri beberapa bulan yang lalu. Adakah Zambry mahu menafikan bahawa beliau tidak megetahui tentang perkara ini? Aktiviti-aktiviti membersihkan hutan ini hanya bermula sejak 2 minggu yang lalu setelah tanah kawasan itu dipindah milik semula kepada kerajaan negeri. Bukankah ini membuktikan bahawa ada unsur-unsur yang ‘tidak kena’ dalam transaksi ini? Bagaimana kerajaan negeri hendak menjelaskan jika mereka mendakwa mereka tidak mengetahui apa-apa yang sedang berlaku di sana?

Sudah tentu perkara ini telah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Zambry cuba  menutup cerita ini dengan  adengan sandiwara berpura-pura. Jika benar pihak kerajaan negeri tidak tahu tentang perkara ini, orang-orang yang bersalah itu harus ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan dengan serta-merta. Sudah tentu kerajaan negeri tahu siapakah yang terlibat secara terus dalam manjalankan aktiviti-aktiviti ini. Tindakan ini adalah penting untuk membersihkan nama kerajaan negeri dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jika mereka benar-benar tidak terlibat dalam skandal ini.

Dipercayai hutan itu dibersihkan untuk membuka jalan ke kawasan pendalamam yang akan diusahakan dengan penanaman kelapa sawit. Adakah aktiviti penanaman kelapa sawit juga  dilakukan secara haram atau tanah itu telah diluluskan kepada pihak-pihak tertentu oleh kerajaan negeri? Walau bagaimanapun pihak Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak telah ‘mencuci tangan’ dengan mengatakan bahawa mereka tidak mengetahui apa-apa tentang projek penanaman kelapa sawit di kawasan pendalaman itu.


YB V.Sivakumar
ADUN Tronoh

Isnin, 12 September 2011

Ceramah Mat Sabu disambut hangat lebih 6,000 orang di Bukit Jana, Taiping

(Gambar 1) Mat Sabu lantang berucap.
(Gambar 2) Nga Kor Ming berpidato dengan penuh bergaya.
(Gambar 3,4 dan 5) Lebih 6,000 orang hadir membanjiri tapak ceramah di Bukit Jana, Taiping. Sambutan hangat amat memberangsangkan.


(TAIPING 9-9-2011)

Lebih 6,000 warga Taiping membanjiri Ceramah Perdana anjuran Pakatan Rakyat di Kampung Bukit Jana disini sehingga kereta penuh sesak lebih tiga kilometer.

Ceramah Perdana yang membariskan Tokoh pemimpin handalan seperti Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu dan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang turut diberi gelaran Mat Sabu DAP Berjaya menarik rakyat dari berbilang kaum seolah-olah pesta muhibah dan perpaduan Nasional yang sebenar.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming ketika berucap berkata, kehadiran begitu ramai rakyat dari pelbagai kaum terbukti Pakatan Rakyat kini telah Berjaya mewujudkan lanskap politik Negara yang baru. Beliau berkata, kini UMNO-BN telah ketandusan idea dan oleh kerana itu terpaksa memakai taktik kotor dengan kempen fitnah untuk menghina sifat pemimpin PR walaupun serangan peribadi yang bersifat politik akhirnya semua terbukti palsu dan remeh.

Nga Kor Ming berkata, UMNO mengecam Mat Sabu cuba bela komunis tetapi adalah fakta umum Setiausaha Agong UMNO, Dato Seri Tengku Adnan Bin Mansor telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Parti Komunis Cina di Beijing pada tahun 2010. Selain itu, Parti Komunis Cina yang merupakan Bapa kepada Parti Komunis Malaya(PCM) adalah tetamu kehormat khas di Perhimpunan Agong UMNO atas jemputan parti tersebut. Ini terbukti UMNO bersikap talam dua muka dan cuba memperdayakan rakyat dengan usaha licik yang cukup Hipokrit.

Nga yang juga merangkap Timbalan Bendahari Agong DAP berkata, nasib orang Melayu akan dibela jika PR memimpin Putrajaya menjelang PRU-Ke 13 kerana kini kebanyakan kekayaan Negara diranggul oleh segelintir kroni besar UMNO sahaja. Rekod Jabatan Perdana Menteri sendiri mengakui Perak kini telah menjadi Negeri yang mempunyai bilangan paling ramai keluarga miskin diseluruh Negara dengan 192,000 buah keluarga dalam negeri Perak mempunyai purata pendapatan kurang dari RM2,000 sebulan. Jika tidak ubah sekarang, bila lagi? Beliau memesan kepada warga rakyat supaya gantikan BN dengan PR sebelum Negara muflis dengan hutang Negara yang kini telah mencecah paras lebih RM408 billion sekarang. Dengan kata lain, setiap rakyat Malaysia terpaksa membayar hutang RM15,000 seorang atas kesilapan pentadbiran UMNO-BN.
 
Mat Sabu diberi sambutan wira

Panas dengan isu Mat Indera, Mohammad Bin Sabu yang lebih popular dikenali sebagai Mat Sabu ketika berucap berkata, sejarah dan tokoh kemerdekaan bukan terhad kepada ukiran atau lakaran UMNO sahaja. Selain dari Dato Onn Jaafar, tokoh lain seperti Dr Buharddin, Ahmad Bostaman, Mat Kilau, Tok Janggut termasuk Mat Indera perlu diberikan catatan sejarah yang setimpal dan adil dengan sumbangan serta pengorbanan mereka. Beliau mendedahkan walaupun Mat Indera difitnah sebagai pengganas Komunis, tetapi Kerajaan Johor telah menerbitkan buku Pengukir Nama Johor dengan memuji sumbangan beliau sebagai pejuang kemerdekaan. Penaung Buku tersebut adalah Menteri Besar Johor sendiri, iaitu Dato Seti Abdul Gani. Ini sekali lagi terbukti kini UMNO menggali lubang lompat sendiri.
Mat Sabu kata, BN memperkudakan media arus perdana khususnya lidah UMNO, Utusan Malaysia mengecam beliau bertubi-tubi selama lebih 13 hari termasuk hari pertama Hari Raya Aidilfitri walaupun ajaran Islam menyuruh sifat maaf bermaafan sempena musim Bulan Syawal.

Beliau berkata, laporan RTM dan media arus perdana lain tidak memberikan gambaran sebenar dan beliau memberi amaran akan mengambil tindakan Mahkamah saman malu terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab dan sengaja memutar belit ucapan beliau.

Sebelum ini kedatangan Mat Sabu disambut hangat oleh para hadirin dan jelas kempen mengkutuk Mat Sabu tidak menggugatkan popularity beliau yang kini semakin menyerlah. Antara pemipin PR lain yang turut hadir termasuk Naib Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustas Misbahul Munir, ADUN Aulong, Yew Tian Who, Pesuruhjaya PAS Parlimen Taiping, Ustaz Pakaruddin dan lain-lain.

Khamis, 8 September 2011

YB V.Sivakumar : Kecualikan Bayaran Lesen Bazar Untuk Semua Perayaan.






Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Timbalan Pengerusi DAPSY Perak di Ipoh pada 7 September 2011.

Kecualikan Bayaran Lesen Bazar Untuk Semua Perayaan.

Baru-baru ini Kerajaan Perak telah mengecualikan bayaran lesen bazaar Ramadan kepada para peniaga beragama Islam di seluruh negeri yang menjalankan perniagaan di sepanjang bulan mulia. Tindakan ini meringankan beban peniaga-peniaga yang mahu mencari sedikit rezeki sempena sambutan hari raya puasa. Ini  merupakan satu polisi yang baik dan prihatin terhadap peniaga-peniaga tersebut.  Walaupun tindakan ini tidak membawa manfaat atau keuntungan kepada Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran di seluruh Perak, tetapi ia membantu  dan mengalakkan peniaga-peniaga kecil  dengan  cara mengurangkan kos perniagaan mereka.  Dikatakan pengecualian lesen itu menyebabkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM804,503.

Kerajaan Perak juga harus mengambil langkah yang sama untuk  semua perayaan-perayaan yang lain.  Orang-orang beragama Hindu akan menyambut  perayaan Deepavali pada penghujung bulan Oktober tahun ini. Untuk itu, saya mencadangkan supaya kerajaan  Perak juga harus mengecualikan bayaran lesen bazar Deepavali di seluruh negeri. Ini  akan membantu semua peniaga-peniaga kecil  yang terlibat di negeri Perak.

Sering kali aduan diterima daripada peniaga-peniaga bazar Deepavali  di ‘Little India’, Jalan Lahad, Ipoh. Mereka merungut bahawa bayaran sewa  Khemah yang dipasang adalah terlalu tinggi dan menelan sejumlah besar keuntungan yang mereka perolehi.  Oleh yang demikian, kerajaan Perak  melalui Majlis Bandaraya Ipoh harus mengawal sewa khemah yang dipasang untuk peniaga-peniaga  kecil ini.

Dikatakan harga ruang khemah adalah lebih kurang RM600 di tempat yang kurang strategik  dan melampaui RM1000 di tempat  berasak-asak  padat dan mempunyai tumpuan pemasaran. Jumlah bayaran yang dikenakan adalah terlalu tinggi dan tidak adil kepada peniaga-peniaga kecil  yang dicekik darah oleh pihak penganjur bazar tersebut .

Keuntungan besar dikaut oleh pihak ketiga yang menguruskan pemasangan khemah-khemah ini.  Perkara ini harus dielakkan kerana orang yang bersusah payah berniaga seharusnya mendapat keuntungan yang besar dan bukannya pihak ketiga yang mengambil kesempatan untuk mencari  dana untuk tujuan-tujuan tertentu.  Golongan ‘berat kaki berat tangan’ ini senang-senang membuat keuntungan daripada titik peluh orang lain.  Kerajaan Perak harus mengambil kira kepayahan peniaga-peniaga ini yang terpaksa membayar sewa khemah yang tinggi tiap-tiap tahun.

Oleh itu, kerajaan harus membelek semula prosedur melantik pengajur bazar Deepavali. Pihak ketiga  yang membonceng keuntungan itu perlu dielakkan diberi kontrak mulai tahun ini. Saya mencadangkan  supaya Majlis Bandaraya Ipoh  mengambil alih kerja-kerja  pemasangan khemah  bazaar Deepavali di ‘Little India’ Ipoh.  Pada masa yang sama sewa khemah harus diberikan pada kadar yang minima diantara RM400 hingga RM600 untuk sepanjang tempoh temasya bazar Deepavali. Jika perlu,  Kerajaan negeri  harus memberi peruntukan tambahan sebagai subsidi jika kos pemasangan khemah-khemah itu tidak dapat ditampung dengan jumlah kutipan sewa. Pada masa yang sama kerajaan juga harus mengecualikan sebarang bayaran  lesen bazar di sepanjang musim perayaan itu. 


YB V.Sivakumar
ADUN Tronoh

Selasa, 6 September 2011

DAP Bongkar Hipokrit UMNO tandatangan perjanjian kerjasama dengan Komunis China



Kenyataan Media DAP Perak 5-9-11

Apabila UMNO dan media arus perdana kawalan parti perkauman itu mengecam hebat Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu kerana kononnya membela pejuang Komunis di kejadian Bukit Kepong pada 1950, DAP Perak hari ini membongkarkan sikap hipokrit parti UMNO itu dengan menunjukkan bukti bahawa Setiausaha Agong UMNO, Dato Seri Tengku Adnan Mansor sendiri telah menandatangan perjanjian atau memorandum kerjasama antara parti Komunis China dan UMNO pada bulan Ogos, tahun 2010.

Memorandum tersebut ditandatangan di Beijing, China dan pernah mendapat laporan meluas oleh akhbar tempatan. Adalah jelas ini terbukti bahawa apabila UMNO mengutuk komunis dan melemparkan segala fitnah terhadap parti Komunis Malaya serta cuba menodai nama baik Mat Sabu, UMNO secara terbuka telah menjalin hubungan intim dengan bapa Komunis Parti Comunist Malaya(PCM), Parti Komunis Cina.

Bah kata pepatah Melayu, apabila meludah ke langit, akhirnya kena pada muka sendiri--- Inilah akibat melakukan dosa fitnah.

Perlu dimaklumkan juga walaupun UMNO cuba mengapikan sentimen perkauman & ideologi kedua-dua parti itu berbeza, tetapi jelas Parti Komunis Cina sering diundang menjadi tetamu kehormat khas perhimpunan Agong UMNO yang diadakan di PWTC, KL. Apa nak dikata sekarang?

Bersama-sama ini disertakan keratan surat khabar Tengku Adnan tandatangan dengan Setiausaha pusat Parti Komunis Cina dengan senyuman lebarnya dan gambar sidang akhbar hari ini di ibu pejabat DAP Negeri Perak.

Salam hormat,

YB Nga Kor Ming

Ahli Parlimen Taiping/Setiausaha Negeri DAP Perak

YB V.Sivakumar : Mekanisme Untuk Membetulkan Dasar Lama.





Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh, Timbalan Pengerusi DAP Perak di Batu Gajah pada 4 September 2011.


Mekanisme Untuk Membetulkan Dasar Lama.


Seringkali keputusan dasar yang dibuat oleh ahli-ahli politik akan mempunyai kepentingan  politik dan tidak  semestinya  membawa hasil yang bermanfaat kepada rakyat jelata. Oleh yang demikian, banyak diantara program-program yang dilancarkan oleh kerajaan  adalah indah khabar daripada rupa. Sebelum sesuatu dasar atau polisi diperkenalkan, kerajaan harus mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak yang terlibat secara langsung atau akan terjejas daripada dasar itu. Adakah tindakan ini dibuat oleh pihak kerajaan? Secara umumnya, pendapat daripada pihak yang terlibat atau terjejas biasanya tidak diberi perhitungan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa. Dari satu perspektif,  ini adalah amalan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi. Adakalanya wakil rakyat juga tidak dirunding atau diminta pandangan mengenai sesuatu dasar  atau projek utama  yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan. Kewujudan wakil rakyat  juga  seringkali diabaikan atau diketepikan oleh pihak eksekutif yang berkuasa.

Sebelum merangka sesuatu dasar atau melaksanakan sesuatu projek  utama yang melibatkan orang ramai, perkara itu perlu dipertimbangkan dalam pelbagai aspek dengan mendapatkan pandangan daripada  pihak-pihak tertentu. Tetapi, alasan yang kerap kali diberikan oleh pihak berkuasa ialah perkara seperti ini tidak wajar dilakukan kerana ia akan mengambil masa yang lama dan tidak kos efektif.  Oleh itu, kerajaan beranggapan bahawa langkah ini  tidak praktikal dan boleh diabaikan. Memandangkan rakyat telah mengundi dan memilih satu kerajaan maka dianggap mandat  telah diberikan  kepadanya. Oleh itu, kerajaan  berani mendabik  dada melaksanakan apa jua tindakan atau dasar yang dirasakan sesuai  untuk kepentingan politik. Perkara ini memang sukar untuk dipertikaikan kerana keputusan tersirat pilihanraya adalah memberi kuasa penuh kepada kerajaan untuk mentadbir negara ini megikut selera kerajaan yang dipilih. Tetapi, adakah sistem ini akan membawa manfaat atau faedah kepada rakyat yang memilih kerajaan itu?

Pada pandangan saya, walaupun kerajaan telah dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya,  satu mekanisme diperlukan untuk memastikan dasar-dasar  dan  projek-projek utama  yang dilaksanakan oleh kerajaan mempunyai kepentingan rakyat. Bagaimanakah perkara ini boleh dilaksanakan tanpa merugikan masa dengan nilai kos yang rendah?

Selain daripada itu, terdapat banyak dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan tetapi tidak pernah dikaji semula. Sebagai contoh Dasar Pandang Ke Timur, Bersih Cekap dan Amanah, Wawasan 2020, Islam Hadari dan lain-lain lagi. Adakah dasar-dasar ini digunapakai lagi atau telah menemui ajal semulajadi apabila berlaku perubahan dalam tampuk pimpinan negara. Semua dasar yang yang pernah dilancarkan  oleh kerajaan perlu dikaji semula supaya  seluruh rakyat Malaysia tahu arah tuju negara. Sekarang konsep 1Malaysia telah diperkenalkan, tetapi visi ini juga akan hilang dimakan masa apabila berlaku perubahan dalam  pimpinan jemaah menteri.

Untuk menyelesaikan masalah ini kita memerlukan satu  mekanisme untuk mengkaji semula  dasar-dasar yang sedia ada dan mengolah dasar-dasar baru.  Untuk itu, Pakatan Rakyat bercadang untuk mewujudkan  Majlis Pakar-pakar (Council of Experts) jika berjaya menjadi kerajaan Pusat  selepas Pilihanraya Umum ke 13. Pakatan Rakyat  akan  mewujudkan  Majlis ini dalam isu-isu utama negara seperti ekonomi, politik dan sosial untuk merangka  dasar baru dan mengemaskini dasar sedia ada agar bertepatan dan mujarab menangani kemelut negara dan masyarakat. Tindakan ini akan melancarkan lagi pentadbiran negara kerana kepentingan rakyat dan negara akan diutamakan. 


YB V.Sivakumar
ADUN Tronoh

YB V.Sivakumar : Pemberian Bantuan Kebajikan Harus Dipercepatkan.




Kenyataan Media YB V.Sivakumar , ADUN Tronoh pada 3 September 2011 di Ipoh.

Pemberian Bantuan Kebajikan Harus Dipercepatkan.

Kebajikan adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian yang serius oleh kerajaan yang prihatin kepada rakyat. Tidak guna ada kementerian dan jabatan untuk menjaga kebajikan rakyat tetapi tidak mencapai matlamatnya yang sebenar. Didapati banyak permohonan telah dibuat untuk mendapatkan bantuan kebajikan tetapi tidak mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak berkuasa. Permohonan yang dibuat tidak diberi pertimbangan sehingga ramai yang sudah putus asa dengan pihak yang bertanggunggjawab. Pelbagai rungutan dan rintihan yang kita dengar daripada orangramai bahawa permohonan mereka ditolak secara sewenang-wenangnya.

Tambahan pula, yang lebih menyedihkan lagi ialah tempoh masa yang diambil untuk meluluskan sesuatu permohonan bantuan kebajikan. Ada kalanya tempoh berbulan-bulan diambil untuk memproses sesuatu permohonan bantuan kebajikan. Apa guna memberi bantuan jika ia tidak sampai pada masa yang tepat dan amat memerlukan. Orang-orang yang memohon bantuan kebajikan adalah dari kalangan miskin atau miskin tegar. Perhatian yang serius harus diberi dengan serta-merta tanpa mengambil masa yang panjang untuk mempertimbangkan permohonan mereka.

Apabila suami yang merupakan pembawa rezeki  keluarga  meninggal dunia, isteri dan anak-anak  yang tidak mempunyai tempat pergantungan memerlukan bantuan serta-merta. Tetapi, apabila kes seperti ini dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, ia mengambil masa lebih daripada sebulan untuk meluluskan  bantuan. Apa salahnya  jika pihak jabatan meluluskan bantuan segera untuk membantu isteri dan anak-anak supaya satu jaminan hidup dapat diberikan kepada mereka dalam keadaan yang amat  terdesak dan memerlukan.

Begitu juga, banyak lagi permohonan yang dibuat tidak mendapat apa-apa jawapan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.  Ada juga kes-kes dimana fail hilang atau tidak dapat dikesan setelah beberapa bulan permohonan dibuat. Semua ini menyusahkan lagi pemohon yang sudah pun menderita kerana tekanan hidup dan inflasi yang semakin ketara.  Ramai diantara warga emas dan ibu tunggal yang memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak mendapat bantuan yang diharapkan. Setiap kali ditanya,  jawapannya adalah  yang sama iaitu ‘masih dalam proses’. Kenapa ini berlaku? Adakah kerajaan tidak serius untuk membantu warga miskin atau wujud ketidakcekapan yang serius dalam pentadbiran memproses bantuan kebajikan?

Kerajaan harus memberi  perhatian  yang sewajarnaya terhadap masalah kebajikan rakyat. Perbelanjaan ini harus didahulukan untuk menjamin kesejahteraan seluruh rakyat negara ini. Ini juga penting untuk membendung masalah sosio-ekonomi seperti jenayah, pelacuran dan sebagainya. Jika kerajaan mengambil sikap sambil lewa terhadap permohonan bantuan kebajikan maka sudah tentu ini akan menambahkan pahit maung pemohon tersebut. Selain daripada itu, keyakinan rakyat terutamanya golongan miskin akan hilang  terhadap pentadbiran ini.

Oleh yang demikian pihak kementerian harus memberi satu ‘cut-off date’ untuk setiap jenis permohonan supaya ia dapat dijadikan sebagai kayu pengukur oleh semua pihak yang terlibat dalam permohonan bantuan kebajikan. Tambahan pula ini adalah penting untuk memastikan pencapaian KRA oleh semua pihak yang terlibat dalam proses pemberian bantuan kebajikan ini.

Sering kali kita dengar bahawa berjuta-juta ringgit telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk memberi  bantuan kebajikan kepada warga miskin, warga tua dan ibu tunggal. Tetapi, adakah wang itu sampai kepada sasaran?  Janji kerajaan seolah-olah ‘di lahir serupa tidak, di batin menggunting angin’. Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata tidak wajar pihak-pihak tertentu mempersalahkan kerajaan semata-mata sekiranya bantuan yang disalurkan tidak diterima golongan terbabit. Beliau berkata kementerian menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan RM1.26 bilion bagi membantu kira-kira setengah juta golongan sasar sepanjang tahun ini.
Nilai RM1.26 billion adalah terlalu besar, tetapi masalah miskin tegar masih wujud di merata pelusuk negara. Dimanakah kesilapan telah berlaku? Persoalan ini perlu dijawab melalui tindakan kerajaan memastikan proses permohonan bantuan kebajikan adalah lancer dan cepat tanpa birokrasi yang terlampau. Ini adalah penting untuk memastikan golongan miskin benar-benar dibantu tanpa sebarang diskriminasi terhadap mereka.

V.Sivakumar
ADUN Tronoh

YB V.Sivakumar : Program Kesenian 'Makkal Aachi Malarattum'.





YB V.Sivakumar
ADUN Tronoh

YB V.Sivakumar : Perayaan Tahunan Kuil Sri Maha Kaliamman, Jln. Tanjung Tualang.







Kenyataan Media YB V.Sivakumar , ADUN Tronoh pada 31 Ogos 2011 di Batu Gajah.

Sambutan Perayaan Kuil Sri Maha Kaliamman, Jalan Tanjung Tualang pada 31 Ogos 2011. Kuil ini merupakan antara kuil yang sangat tua di kawasan ini iaitu lebih daripada 80 tahun.  Ia di mulakan oleh pekerja-pekerja Majlis Daerah yang  tinggal di kauters kerajaaan tempatan.  Perayaan ini merupakan upacara tahunan yang disambut pada Hari Merdeka pada tiap-tiap tahun. Tahun ini juga ia disambut dengan begitu meriah didatangi oleh penduduk  Batu Gajah dan pekan-pekan disekitarnya.  Dianggarkan lebih daripada 6000 orang telah menghadiri upacara tahunan kuil ini. YB V.Sivakumar dan bekas Ahli Majlis  Batu Gajah Vijakumar juga turut hadir untuk menyambut perayaan tahunan kuil ini bersama-sama dengan penduduk tempatan.  Pada tahun ini, satu keistemewaan dalam perayaan itu ialah dua pokok pisang yang diikat di hadapan kuil itu  menarik perhatian semua orang.  Dua pokok pisang tersebut adalahcukup tinggi dianggarkan lebih kurang 20 kaki. Jarang sekali kita dapat lihat pokok pisang yang begitu tinggi. Ia telah menarik pehatian semua penganut yang datang ke kuil tersebut pada hari itu. Perayaan ini juga mengeratkan hubungan penduduk tempatan  di sekitar Batu Gajah.  

YB V.Sivakumar
ADUN Tronoh