PENGUMUMAN

Kami telah berpindah ke laman web yang baru (www.dapperak.org)
Harap maklum.

DAP Perak Aktiviti

Khamis, 28 Julai 2011

Soalan-Soalan Lisan dan Bertulis Bagi Dewan Negeri Perak Yang Kedua Belas mulai 15hb Ogos, 2011. daripada YB Dato' Ngeh Koo Ham

Soalan-Soalan Yang Memerlukan Jawapan Lisan dan Bertulis Bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Dewan Negeri Yang Kedua Belas Perak Darul Ridzuan mulai 15hb Ogos, 2011.

Tarikh : 27hb Julai 2011
Daripada : YB DATO' NGEH KOO HAM (Kawasan Sitiawan)


Soalan-Soalan yang memerlukan jawapan lisan

1. Bertanya kepada YAB Menteri Besar untuk nyatakan purata pendapatan orang perseorangan dan juga isi keluarga (5 orang ) di Negeri Perak. Berapa isi keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM1,500.00 sebulan?

2. Bertanya kepada YAB Menteri Besar sudahkah mereka yang dikatakan mengeluarkan Lesen Menduduki Sementara (TOL) palsu berkenaan dengan penerokaan secara haram tanah di Sungai Tumbuh, Lambor Kanan berdekatan Seri Iskandar telah ditangkap dan didakwa di Mahkamah. Apakah keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan berkenaan dengan lebih kurang 404 hektar tanah yang telah dicerobohi ini?

3. Bertanya kepada YAB Menteri Besar adakah tender terbuka dijalankan sebelum projek pengangkutan bas awam di Manjung dilaksanakan. Sila nyatakan nama syarikat dan terma-terma perjanjian untuk pengendalian pengangkutan bas awam ini.


Soalan-Soalan yang memerlukan jawapan bertulis


1. Bertanya kepada YAB Menteri Besar untuk senaraikan 200,000 hakmilik tanah baru seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar dan dilapurkan dalam Star Metro pada 30hb Jun 2011. Berikan nama penerima-penerima hakmilik-hakmilik tersebut yang merupakan pemberimilikkan tanah baru (new land alienation).

2. Bertanya kepada YAB Menteri Besar untuk senaraikan daerah-daerah dan keluasannya disetiap daerah tersebut tanah seluas 26,800 hektar yang diumumkan oleh Menteri Besar (dilapurkan di Star Metro pada 27/6/2011) telah diusahakan secara haram.

3. Bertanya kepada YAB Menteri Besar untuk senaraikan nama mereka yang telah diluluskan tanah yang sekarang diusahakan oleh lebih kurang 100 petani di Tronoh Mines dan kenapa tanah-tanah ini diluluskan kepada mereka yang tidak ada kaitan dengan tanah ini dan bukan kepada petani-petani yang sedia ada di situ?


4. Bertanya kepada YAB Menteri Besar dimanakah 1214.1 hektar tanah yang telah diperuntukkan untuk projek Perak Eco Industrial Hub. Nyatakan dengan terperinci rancangan kerajaan berkenaan dengan projek ini.

5. Bertanya kepada YAB Menteri Besar berapa kalikah kadar premium bagi lot-lot perumahan Kampung Tersusun dan Kampung Baru bertukar dari 6/2/2009 hingga ke hari ini (27/2/2011). Nyatakan kadar premium untuk lot-lot perumahan bagi Kampung Tersusun dan Kampung Baru dalam tempoh tersebut.


NGEH KOO HAM
Pengerusi DAP Perak
Ahli Parlimen Beruas & ADUN Kawasan Sitiawan

Isnin, 25 Julai 2011

YB V.Sivakumar telah menghadiri perayaan tahunan Kuil Maha Muthu Mariamman Ladang Nalla Tronoh pada 24 Julai 2011.


Kenyataan Media YB V.Sivakumar di Ladang Nalla, Tronoh pada 24/7/2011 Perayaan Tahunan Kuil Maha Muthu Mariamman Ladang Nalla, Tronoh

YB V.Sivakumar telah menghadiri perayaan tahunan Kuil Maha Muthu Mariamman Ladang Nalla Tronoh pada 24 Julai 2011.

Setiap tahun perayaan ini disambut dengan meriah di kuil ini. Upacara kemuncak perayaan ini ialah 'Thimithi' iaitu berjalan di atas bara api.

Ini merupakan tahun ke4 YB V.sivakumar  menghadiri upacara perayaan tahunan kuil ini.

Kuil ini wujud sejak kolonial British lagi untuk penduduk-penduduk ladang getah Nalla, Tronoh.

Kini ladang ini telah berubah wajah, getah tidak wujud lagi. Telah menjadi ladang kelapa sawit. Hampir keseluruhan masyarakat India telah meninggalkan ladang ini. Kini pekerja-2 asing menetap dan bekerja di ladang tersebut.

Walaubagaimanapun, kuil Maha Muthu Mariamman ini masih tetap menyambut perayaan tahunan sehingga ke hari ini. Penduduk-penduduk di sekitar pekan Tronoh datang beramai-ramai untuk menyambut perayaan itu tiap-tiap tahun. Dalam pada itu, keluarga yang pernah menetap di ladang itu tetapi sekarang bekerja di negeri-negeri lain juga akan pulang untuk menyambut perayaan ini.

Ini merupakan satu peluang kepada mereka untuk bertemu dengan sahabat handai dan jiran-jiran mereka yang lama.

Kuil ini pernah memohon sebidang tanah berhampiran dengan kampung Baru Nalla. Tetapi permohonan itu telah ditolak oleh kerajaan negeri tanpa satu alasan yang munasabah.

YB V.Sivakumar menjanjikan bahawa beliau akan mendapatkan tanah yang dipohon itu jika Pakatan Rakyat berjaya memerintah negeri Perak semula. Beliau juga mencabar MIC dan kerajaan negeri Perak untuk menyelesaikan masalah permohonan tapak tanah oleh Kuil ini.

Khamis, 14 Julai 2011

Peristiwa Tung Shin 709 - Perdana Menteri & Ketua Polis Negara Menipu Rakyat


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Tronoh di Batu Gajah pada 14/7/2011.

Perdana Menteri & Ketua Polis Negara Menipu Rakyat

Integriti dan kredibiliti kerajaan terjejas apabila 2 orang tokoh negara membuat kenyataan palsu dalam media untuk menipu keseluruhan rakyat Malaysia. Mereka mendakwa bahawa polis tidak menembak air dan gas pemedih mata di dalam kawasan Hospital Tung Shin. Ini adalah satu pembohongan yang sangat ketara. Terdapat banyak rakaman video dan saksi-saksi yang melihat dan menjadi mangsa keganasan polis di kawasan hospital berkenaan.

Saya bersama sama YB Lim Pek Har, ADUN Menglembu berada di Hospital Tung Shin ketika kejadian menembak air dan gas pemedih mata itu berlaku di dalam kawasan hospital itu. Kami terperanjat dengan tindakan polis yang ganas lagi berani menembak gas pemedih mata ke dalam kawasan hospital. Saksi-saksi lain yang turut menjadi mangsa gas pemedih mata di Hospital Tung Shin ialah Pengerusi DAP Cawangan Bemban Lim Yoke See, Pengerusi DAP Cawangan Pusing Chan Chin Fah, Pengerusi DAP Cawangan Batu Gajah Utara Vijayakumar dan ramai lagi.

Beribu-ribu orang telah menyaksikan kejadian yang zalim itu, tetapi Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara menafikan tindakan polis menyerang Hospital Tung Shin. Sudah tentu ini menjatuhkan imej ketua negara dan Ketua Polis Negara yang sepatutnya dipandang tinggi oleh masyarakat umum. Apatah lagi penipuan ini dibuat semata-mata untuk kepentingan politik Barisan Nasional.

Selain daripada itu kami juga melihat berpuluh-puluh polis dengan begitu ganas dan cemas telah memasuki kawasan dan bangunan Hospital Tung Shin untuk menangkap orang-orang yang datang menghadiri perhimpunan aman Bersih. Mereka telah menggunakan kekasaran yang keterlaluan apabila menangkap orang-orang yang berlari untuk menyelamatkan mereka.

Saya tidak lari daripada polis, saya duduk dan melihat telatah dan cara tangkapan yang dibuat oleh polis di Hospital Tung Shin. Walau bagaimanapun saya juga ditahan oleh Polis di dalam Kawasan Hospital Tung Shin. 2 orang anggota polis telah mengambil maklumat peribadi saya dan melepaskan saya dengan serta merta.

Kenyataan media ini dibuat semata-mata untuk memberitahu kejadian sebenar yang berlaku di dalam kawasan Hospital Tung Shin supaya pihak-pihak tertentu tidak mengelirukan isu yang sebenar. Rakyat Malaysia berhak mengetahui kebenaran untuk kepentingan bersama.

Isnin, 4 Julai 2011

Datuk Rayu Bantuan Untuk 5 Orang Cucu


(4 Julai 2011, Taman Pinji Mewah)

Kami telah menerima aduan daripada En Manogaran (48) bahawa beliau telah mebuat permohonan bantuan kebajikan untuk 5 orang cucu pada 16 Mac 2011 tetapi tidak menerima apa-apa bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat ini.

Beliau seorang tidak mempunyai pekerjaan yang tetap, isterinya juga merupakan seorang suri rumahtangga. Mereka terpaksa menanggung perbelanjaan 5 orang cucu yang telah ditinggalkan oleh ibu bapa mereka. Beliau telah pergi ke Pejabat Kebajikan Masyarakat sebanyak 3 kali tetapi tidak ada apa apa maklum balas kecuali menyuruh beliau untuk tunggu.

Beliau tidak mampu membiayai tanggung dan perbelanjaan sekolah anak-anak kecil ini. Beban ini jika berterusan beliau terpaksa memberhentikan cucu-cucunya daripada bersekolah.

Perkara ini perlu dielakkan kerana masa hadapan anak-anak ini akan terkandas. Walau bagaimana pun cucunya yang bernama Premila (13) telah pun diberhentikan daripada bersekolah pada tahun ini. Cucu-cucu yang lain iaitu Kanaga Priya (12), Yogeswaran (10), Venugopal (8), Jamuna (6) masih lagi bersekolah.

Untuk menjamin masa hadapan anak-anak ini, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat harus mengambil tindakan segera membantu mereka. Sikap sambil lewa dan tidak mengambil kisah ini akan memudaratkan lagi masalah sosio-ekonomi negara kita pada masa akan datang.

Kalau benar, kerajaan Barisan Nasional berniat untuk membasmi kemiskinan dan mendahulukan rakyat, tindakan harus diambil dengan serta-merta membantu keluarga miskin tegar ini.

P.S En Manogaran boleh dihubungi di 014-3411018