PENGUMUMAN

Kami telah berpindah ke laman web yang baru (www.dapperak.org)
Harap maklum.

DAP Perak Aktiviti

Rabu, 21 Mac 2012

TEKS UCAPAN YB TUAN NGA KOR MING/TAIPING(P060)MEMBAHAS TITAH DIRAJA SEMPENA PERSIDANGAN PARLIMEN MAC, 2012

DSC03452 Salam Reformasi, Tan Sri Tuan Yang Dipertua. Terima kasih kerana membenarkan saya bangun untuk membahaskan Titah Diraja sempena Persidangan Dewan Rakyat kali ini.

TYP, Saya bangun untuk membawa impian warga Taiping yang merupakan Bandar Warisan Tanahair kita. Saya rasa terpanggil untuk membangkitkan beberapa perkara penting untuk manfaat masyarakat Taiping dan kami menaruh harapan yang tinggi supaya warga Taiping tidak perlu asyik menanti sebelum impian menjadi kenyataan.

Pembinaan Universiti dikawasan Parlimen Taiping

TYP, Perkara pertama adalah pembinaan sebuah Universiti dikawasan Parlimen Taiping. Adalah hasrat dan impian warga Taiping dimana Bandar yang bersejarah ini memohon jasa baik pihak kerajaan untuk menimbang hasrat umum masyarakat Taiping kerana ia adalah mangkin pertumbuhan ekonomi dan wacana transformasi untuk Bandar yang bersejarah ini.

Memorandum untuk tujuan murni ini telah kerap kali dihantar kepada YAB TPM dan PM, bagaimanapun rakyat disana masih lagi sabar menanti. Saya menggesa kerajaan mengambil tindakan segera supaya tidak menghampakan masyarakat Taiping yang dulu ketika adalah ibu kota Negeri Perak Darul Ridzuan.

Pembinaan Kereta Kabel di Maxwell Hill

TYP, Perkara yang kedua adalah pembinaan Kereta Kabel di Maxwell Hill yang terkenal dengan flora dan fauna serta keindahan pemandangan. Mengikut tinjauan saya dan pengumpulan pendapat dari warga Taiping, Bandar Taiping dengan kedudukan unik yang sedia ada, adalah amat sesuai dibangunkan sebagai Bandar Berilmu pendidikan Tinggi dan Bandar Perlancongan. Kerajaan Negeri Perak telah mengumumkan pembinaan projek kerera Cable di Maxwell Hill atau Bukit Larut sejak tahun 2006 dan kononnya dijangka siap pada tahun 2009. Akan Tetapi, sekian lama rakyat Taiping menunggu, keadaannya sehingga kini masih tetap : “dengar suara dan bayang tak Nampak.” Saya menggesa kementerian perlancongan mengambil tindakan pro aktif dengan kadar segera supaya projek yang diwar-warkan sekian lama ini dapat dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat.

Pemulihan Pasar Awam Bandar Taiping

TYP, Pasar Awam Taiping adalah Pasar Pertama yang didirikan ditanahair kita. Bangunan Abad Ke-18 tersebut berdiri sergam ditengah-tengah Bandar Taiping dan sehingga kini masih lagi mencurahkan khidmat & berbudi kepada masyarakat Taiping. Bagaimanapun, setelah berkhidmat lebih dari 130 tahun, bangunan tersebut kini berada di keadaan usang dan amat perlu diperbaiki. Adalah hasrat warga Taiping bahawa majoriti Rakyat dikawasan Taiping ingin mengekalkan pasar yang bersejarah tersebut kerana ia merupakan nadi pembentukan local economi untuk Bandar yang bersejarah ini.

Saya ingin mengesyorkan kepada Kementerian Perlancongan supaya meluluskan peruntukan untuk memulihkan semula bangunan pasar tersebut mengikut corak Freemantle Market di Perth, Australia yang umurnya lebih kurang sebaya dengan Pasar Taiping. Pemulihan Pasar ini berpotensi menjadi satu produk perlancongan yang bernilai dan ia boleh dijadikan bahan kajian untuk seni pembinaan bangunan warisan. Selain itu, jika dirancang dengan rapi, ia juga akan menghidupkan suasana sekelilling Bandar Taiping yang menjadi kebanggaan penduduk tempatan.

TYP, selain daripada 3 perkara yang dibangkitkan tadi, saya rasa terpanggil untuk mengutarakan masalah banjir yang menjadi iguana mimpi ngeri warga Taiping. Dua minggu yang lalu, lebih 3000 isi rumah di Taiping dilanda banjir. Saya sedar bahawa Taiping merupakan Bandar yang dikurniakan kadar penurunan hujan yang kedua tertinggi di dunia, tetapi saya mendapati system perparitan yang kurang sempurna, rancangan pembangunan yang kurang memuaskan serta kegagalan membersihkan pasir sungai yang kian bertakung adalah antara sebab mengapa kini banjir telah menjadi phenomena yang sering terjadi. Walaupun kerajaan pernah mengumumkan rancangan untuk mencegah banjir, tetapi sehingga kini keadaaannya bukan sahaja tidak Nampak kemajuan sebaliknya ia kian merosot. Saya menggesa kementerian dan Jabatan Pengairan & Saliran dapat memberi perhatian serius dalam perkara ini.

TYP, selain dari isu kawasan parlimen, saya ingin membangkitkan beberapa perkara penting yang sudah lama merunsingkan murid-murid sekolah.

Masalah kronik kekurangan sumber tenaga pengajar di SJK(C) dan SJK(T)

Pertama, mengikut stastik kementerian pelajaran, masalah kekurangan sumber tenaga pengajar di SJK(C) dan SJK(T) telah menjadi masalah kronik yang membelenggu kita lebih setengah abad. Mengikut rekod yang saya ada, pada tahun 2010, SJK(c) mengalami masalah kekurangan guru seramai 2206 orang dan SJK(T) pula mengalami bilangan kekurangan guru seramai 282 orang. Pada tahun ini, SJK(C) masih mengalami kekurangan guru seramai 1889 orang dan pihak pengelola sekolah dan PIBG terpaksa menggunakan dana sendiri untuk mengupah guru sementara. Umpamanya di Johor Bharu, Masayarakat JB terpaksa membelanja lebih RM1 juta setahun demi tujuan ini untuk 21 buah SJK(c) disana. Jika kita tinjau bilangan sekolah yang sedia ada, iaitu 1293 buah SJK(c), lebih 100% setiap sekolah mengalami masalah yang sama, something is very wrong somewhere. Rakyat sudah sabar menanti, tetapi lebih 55 tahun masalah tersebut tetap berlarutan, ini terbukti segala janji manis kerajaan adalah indah khabar dari rupa.

Saya ingin bertanya kepada Kementerian Pelajaran beberapa perkara supaya kita dapat mengatasi masalah Sekolah Rendah secara kolektif dan keseluruhan :-

(i) Apakah sebabnya SJK(c) dan SJK (T) sentiasa mengalami kekurangan guru dan mengapa kerajaan sehingga kini masih gagal mengatasi masalah ini ?

(ii) Apakah yang merunsingkan kerajaan mengapa kementerian ada garis panduan untuk membina Sekolah Rendah Kebangsaaan mengikut ratio dan bilangan penduduk, tetapi garis panduan tersebut tidak terpakai untuk SJK(c) dan SJK (T) ?

(iii) Mengapa tapak rizab sekolah yang diwartakan oleh kerajaan hanya dibenar untuk pembinaan SRK tetapi SJK(c) dan SJK (T) dianak tirikan dan perlu memohon pengecualian dari Menteri Pelajaran?

(iv) Walaupun SRK,SJK(c) dan SJK (T) semuanya diiktiraf oleh section 28 Akta Pendidikan 1996 sebagai aliran sekolah system pendidikan negara, apakah sebab kerajaan membiayai semua kos pembinaan SRK tetapi murid-murid di SJK(c) dan SJK (T) sekian lama ini terpaksa mengutip derma untuk dana membina sekolah?

(v) Walaupun SRK,SJK(c) dan SJK (T)semuanya adalah sekolah kerajaan, apakah sebab surat pekeliling palang 1/1996 Kementerian menetapkan bahawa murid sekolah bebas untuk pindah dari SJK(c) dan SJK (T) ke SRK tetapi murid SRK tidak dibenarkan untuk memohon menukar sekolah ke SJK ?

Kelima-lima isu yang dibangkitkan oleh saya telah sekian lama menyinggung perasaan masyarakat Tionghua dan India dinegara ini. Kita tidak boleh menyalahkan rakyat yang marah serta kritik terhadap kerajaan kerana kegagalan pihak kementerian mempamerkan keikhlasan dan kejujuran dalam menyelesaikan masalah yang saya ketengahkan dalam ucapan saya tadi.

TYP, Saya juga rasa terpanggil untuk membangkitkan beberapa isu penting berkaitan dengan pembinaan lebuhraya TOL yang semakin membebankan rakyat. Sebagai contoh, Kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan bahawa satu lebuhraya baru yanf dikenali sebagai West Coast Expressway akan dibina menjalin Banting ke Taiping. Lebuhraya tersebut mempunyai jarak 316KM dan dijanga siap pada tahun 2016. Yang menarik perhatian saya adalah kos pembinaa jalan tersebut. Adalah dilaporkan bahawa lebuhraya tersebut akan menelan kos RM7.1 billion, iaitu dengan kos purata setiap KM adalah RM23.2 juta ringgit. Yang lebih mengejutkan adalah lebuhraya tersebut akan diberi konsesi TOL sepanjang 60 tahun, iaitu dari 2016 hingga 2076. Saya percaya ini adalah satu rekod baru, iaitu dengan tempoh TOL paling lama dalam sejarah tanahair kita. Dalam perkara ini, adalah dilaporkan bahawa kerajaan bukan sahaja akan menanggung kos RM978 juta sebagai kos untuk mengambil tanah, malahan kerajaan sedia menawar pinjaman, soft loan dengan subsidi faedah sebanyak RM2.24 billion untuk syarikat swasta tersebut. Persoalan kini timbul jika kerajaan mampu memberi pinjaman kos yang begitu tinggi, mengapa kerajaan tidak bina sendiri dan biar rakyat menikmati lebuhraya percuma? Kedua, apakah kelebihan syarikat tersebut memandangkan ia tidak pernah adalah pengalaman membina lebuhraya sebelum ini? Dan Ketiga, apakah rasional memberikan tempoh kutipan TOL sehingga 60 tahun sehingga membebankan 2 generasi rakyat kita?

Selain itu, baru-baru ini yang lebih mengejutkan adalah syarikat milikan bersama peguam UMNO , Hafarizan Harun dan isteri Ketua Hakim Negara, Tun Zaki telah dianugerahka projek lebuh raya Kinrara- Damansara yang bernilai RM2.2 billion. Projek tersebut adalah lebuhraya sepanjang 50 KM tetapi kos purata satu KM adalah RM44 juta ringgit, iaitu satu meter jalan RM440,000. Rakyat berhak nak tahu apakah kelebihan syarikat peguam UMNO ini dan kontrak konsesi ini seharusnya dikemukakan kepada Dewan ini supaya tidak timbul syakwasangka bahawa inilah upahan politik untuk peguam dan institusi kehakiman dalam menjatuhkan kerajaan Negeri Perak yang dipilih oleh Rakyat.

Laporan Ketua Audit Negara

Tan Sri TYP, perkara seterusnya yang ingin saya bangkitkan adalah masalah pengurusan kewangan Negara. Saban tahun Laporan Ketua Audit Negara dikemukakan dalam dewan yang mulia ini, setiap kali Negara dikejutkan dengan pelbagai pendedahan penyelewengan dan kepincangan pengurusan kewangan dana awam tetapi masalah tetap berulang. Kecuali tindakn tegas diambil terhadap pihak yang berkenaan, masalah ketirisan, pembaziran dan penyelewengan akan tetap berulang dan laporan ketua audit akan menjadi bahan pameran yang tidak bererti.

TYP, saya bagi contoh, tahun lepas Negara digegarkan dengan laporan bahawa Jabatan Maritime membeli teropong 1000% lebih mahal dari harga pasaran tetapi sehingga kini tiada pihak dibawa ke depan muka pengadilan. Jika perkara sedemikian terus dikrompomi, nescaya ada pihak akan terus menyeleweng wang rakyat dan akhirnya kita semua yang akan menerima padah.

Oleh demikian saya menggesa semasa penggulungan nanti, YB Menteri dapat mengemukakan laporan tindakan yang telah diambil atas pendedahan Laporan Ketua Audit Negara kepada Dewan mulia ini untuk pengetahuan semua pihak sebagai pencegahan masalah penyelewengan wang dana awam.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, demi ketelusan dan akauntabili, atas ledakan hutang Negara yang semakin menggunung kini sehingga RM455 billion, iaitu melebihi paras 53.7% KDNK, saya memohon kerajaan menjelaskan rancangan dan langkah positif bagaimana menjelaskan hutang supaya Negara tidak muflis dan rakyat tidak dibebankan kerana kesilapan dan kelalaian segelintir pemimpin.

Sekian, terima kasih. Saya menjunjung kasih ke bawah Duli Tuanku.

- Nga Kor Ming