Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Timbalan Pengerusi DAPSY Perak di Ipoh pada 7 September 2011.
Kecualikan Bayaran Lesen Bazar Untuk Semua Perayaan.
Baru-baru ini Kerajaan Perak telah mengecualikan bayaran lesen bazaar Ramadan kepada para peniaga beragama Islam di seluruh negeri yang menjalankan perniagaan di sepanjang bulan mulia. Tindakan ini meringankan beban peniaga-peniaga yang mahu mencari sedikit rezeki sempena sambutan hari raya puasa. Ini merupakan satu polisi yang baik dan prihatin terhadap peniaga-peniaga tersebut. Walaupun tindakan ini tidak membawa manfaat atau keuntungan kepada Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran di seluruh Perak, tetapi ia membantu dan mengalakkan peniaga-peniaga kecil dengan cara mengurangkan kos perniagaan mereka. Dikatakan pengecualian lesen itu menyebabkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM804,503.
Kerajaan Perak juga harus mengambil langkah yang sama untuk semua perayaan-perayaan yang lain. Orang-orang beragama Hindu akan menyambut perayaan Deepavali pada penghujung bulan Oktober tahun ini. Untuk itu, saya mencadangkan supaya kerajaan Perak juga harus mengecualikan bayaran lesen bazar Deepavali di seluruh negeri. Ini akan membantu semua peniaga-peniaga kecil yang terlibat di negeri Perak.
Sering kali aduan diterima daripada peniaga-peniaga bazar Deepavali di ‘Little India’, Jalan Lahad, Ipoh. Mereka merungut bahawa bayaran sewa Khemah yang dipasang adalah terlalu tinggi dan menelan sejumlah besar keuntungan yang mereka perolehi. Oleh yang demikian, kerajaan Perak melalui Majlis Bandaraya Ipoh harus mengawal sewa khemah yang dipasang untuk peniaga-peniaga kecil ini.
Dikatakan harga ruang khemah adalah lebih kurang RM600 di tempat yang kurang strategik dan melampaui RM1000 di tempat berasak-asak padat dan mempunyai tumpuan pemasaran. Jumlah bayaran yang dikenakan adalah terlalu tinggi dan tidak adil kepada peniaga-peniaga kecil yang dicekik darah oleh pihak penganjur bazar tersebut .
Keuntungan besar dikaut oleh pihak ketiga yang menguruskan pemasangan khemah-khemah ini. Perkara ini harus dielakkan kerana orang yang bersusah payah berniaga seharusnya mendapat keuntungan yang besar dan bukannya pihak ketiga yang mengambil kesempatan untuk mencari dana untuk tujuan-tujuan tertentu. Golongan ‘berat kaki berat tangan’ ini senang-senang membuat keuntungan daripada titik peluh orang lain. Kerajaan Perak harus mengambil kira kepayahan peniaga-peniaga ini yang terpaksa membayar sewa khemah yang tinggi tiap-tiap tahun.
Oleh itu, kerajaan harus membelek semula prosedur melantik pengajur bazar Deepavali. Pihak ketiga yang membonceng keuntungan itu perlu dielakkan diberi kontrak mulai tahun ini. Saya mencadangkan supaya Majlis Bandaraya Ipoh mengambil alih kerja-kerja pemasangan khemah bazaar Deepavali di ‘Little India’ Ipoh. Pada masa yang sama sewa khemah harus diberikan pada kadar yang minima diantara RM400 hingga RM600 untuk sepanjang tempoh temasya bazar Deepavali. Jika perlu, Kerajaan negeri harus memberi peruntukan tambahan sebagai subsidi jika kos pemasangan khemah-khemah itu tidak dapat ditampung dengan jumlah kutipan sewa. Pada masa yang sama kerajaan juga harus mengecualikan sebarang bayaran lesen bazar di sepanjang musim perayaan itu.
YB V.Sivakumar
ADUN Tronoh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan