PENGUMUMAN

Kami telah berpindah ke laman web yang baru (www.dapperak.org)
Harap maklum.

DAP Perak Aktiviti

Isnin, 18 April 2011

YB Sivasubramaniam : Penempatan Semula 200 Setinggan Di Kawasan Buntong Ke Rpt Pusing Menjadi Tanda Tanya


Laporan Media Oleh Y.B. Encik Sivasubramaniam, Ahli Dewan Undangan Negeri, Kawasan Buntong Pada 18 Apri1, 2011 di Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

PENEMPATAN SEMULA 200 SETINGGAN DI KAWASAN BUNTONG
KE RPT PUSING MENJADI TANDA TANYA

Pada tarikh 7 Februari 2008, semasa Kempen Pilihanraya ke dua belas beberapa pemimpin tertinggi Kerajaan Perak Darul Ridzuan telah mengadakan ceramah politik di Padang IRC dan berjanji untuk menempatkan semula setinggan Buntong ke RPT Pusing yang berdekatan dengan tempat penanaman sisa radioaktif di Papan. Kenyataan ini telah disuarakan oleh bekas Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Y,A.B. Dato’ Seri Diraja Mohamad Tajol Rosli bin Mohd. Ghazali yang berjanji untuk menempatkan setinggan Buntong ke RPT Pusing yang lebih kurang 200 setinggan kesemuanya.

Pada tarikh 29 Februari 2008, surat tawaran telah dikeluarkan kepada sebahagian setinggan Buntong untuk mendapatkan tapak kediaman di RPT Pusing. Pemberian tanah ini telah dibuat semata-mata untuk menyelesaikan masalah setinggan Buntong tanpa dimaklumkan tempat sebenar penempatan semula berkenaan. Kawasan penempatan semula RPT Pusing terletak berdekatan dengan tempat penanaman sisa radioaktif di Papan yang menimbulkan pelbagai masalah pada awal tahun 80an. Pada November 1979 sebuah kilang bernama ARE (Syarikat Asian Rare Earth) dan Jepun telah didirikan di k,m. 7.2 Jalan Lahat, Bukit Merah, Ipoh dengan persetujuan dan Kerajaan Barisan Nasional ketika itu. Ia merupakan syarikat yang dibentuk untuk mengekstrak itrium daripada monazit. Sisa buangan dan kilang ini berpotensi sebagai sumber tenaga nuklear dan ia sangat merbahaya kepada kesihatan dan alam sekitar. Oleh kerana sisa buangan ini menjadi milik kerajaan negeri maka sisa berkenaan ditanam di kawasan berdekatan dengan pekan Papan. Apabila penduduk mengetahui hal ini, ia menjadi satu isu besar di negeri ini dan ramai penduduk sekitar telah membantah perkara ini. Sisa radioaktif berkenaan masih tertanam di kawasan itu.

Baru-baru ini kita kedengaran kisah yang menyedihkan dimana bencana gempa bumi dan seterusnya tsunami yang melanda negara Jepun telah mengorbankan beribu nyawa yang tidak berdosa. Tetapi apa yang seharusnya menjadi pengajaran kepada kita ialah kerosakan yang dialami Pusat Jana Kuasa Nuklear yang terletak di kawasan tersebut di mana ketika ini kerosakan berkenaan diramal meninggalkan kesan yang bertahun lamanya di kawasan tersebut. Kita sentiasa dibekalkan berita bahawa sistem ketahanan atau sistem pengurusan yang digunakan untuk mengendalikan Pusat Jana Kuasa Nuklear di negara Jepun adalah paling canggih dan terbaik tetapi sistem ini tidak dapat menandingi bencana alam dunia ini.

Untuk makluman semua, ketika ini didapati kerja-kerja sedang rancak berlaku di Tempat Penanaman Sisa Radioaktif berkenaan dan ramai yang tidak pasti kerja berkenaan adalah untuk memperbesarkan tempat berkenaan atau memperkukuhkan lagi kawasan penanaman sisa radioaktif tersebut. Walau apa pun jangan biarkan nyawa rakyat terancam dan saya juga diberitahu bahawa kawasan seluas 500 ekar bersebelahan kawasan ini dikhaskan sebagai Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Negeri Perak. Oleh itu Kerajaan Negeri Perak mestilah mengatakan pendiriannya terhadap penempatan semula setinggan di kawasan itu dan jika berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini maka Kerajaan Negeri Perak mestilah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden ini.

Bekas Perdana Menteri iaitu Tun Mahathir Mohamad telah mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa Tempat Penanaman Sisa Radioaktif berkenaan adalah tidak selamat dan keselamatan penduduk dalam radius 1 km adalah dalam bahaya jika berlaku apa-apa kerosakan di tempat berkenaan. Tetapi beliau tidak sedar bahawa kebenaran untuk melakukan kerja-kerja tanah ini berlaku dalam masa beliau berkuasa dan adalah amat menyedihkan kerana nyawa penduduk-penduduk yang tidak berdosa akan digadaikan dalam hal ini.

Didapati Kerajaan Negeri Perak semasa bekas Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Y.A.B, Dato’ Seri Diraja Mohamad Tajol Rosli bin Mohd. Ghazali telah melakukan kesalahan di mana surat tawaran telah dikeluarkan tanpa penyediaan pelan susun atur dan tidak mengikut saluran yang sepatutnya. Semua ini dirancang semata-mata untuk memperdayakan rakyat serta menipu mereka bagi menghadapi pilihanraya ketika itu dan sekarang ini penghuni-penghuni setinggan ini masih lagi tidak menerima apa-apa jawapan lanjut dan Kerajaan Negeri Perak. Persoalan sekarang ialah nasib penempatan baru 200 setinggan yang ada di kawasan Buntong dan sejak 4 tahun yang lalu penghuni-penghuni setinggan ini masih menaruh harapan supaya kawasan yang sesuai diperuntukkan kepada mereka untuk memulakan hidup baru dengan masa depan yang cerah.

Y.B. ENCIK SIVASUBRAMANIAM