Kenyataan Media YB V.Sivakumar , ADUN Tronoh pada 3 September 2011 di Ipoh.
Pemberian Bantuan Kebajikan Harus Dipercepatkan.
Kebajikan adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian yang serius oleh kerajaan yang prihatin kepada rakyat. Tidak guna ada kementerian dan jabatan untuk menjaga kebajikan rakyat tetapi tidak mencapai matlamatnya yang sebenar. Didapati banyak permohonan telah dibuat untuk mendapatkan bantuan kebajikan tetapi tidak mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak berkuasa. Permohonan yang dibuat tidak diberi pertimbangan sehingga ramai yang sudah putus asa dengan pihak yang bertanggunggjawab. Pelbagai rungutan dan rintihan yang kita dengar daripada orangramai bahawa permohonan mereka ditolak secara sewenang-wenangnya.
Tambahan pula, yang lebih menyedihkan lagi ialah tempoh masa yang diambil untuk meluluskan sesuatu permohonan bantuan kebajikan. Ada kalanya tempoh berbulan-bulan diambil untuk memproses sesuatu permohonan bantuan kebajikan. Apa guna memberi bantuan jika ia tidak sampai pada masa yang tepat dan amat memerlukan. Orang-orang yang memohon bantuan kebajikan adalah dari kalangan miskin atau miskin tegar. Perhatian yang serius harus diberi dengan serta-merta tanpa mengambil masa yang panjang untuk mempertimbangkan permohonan mereka.
Apabila suami yang merupakan pembawa rezeki keluarga meninggal dunia, isteri dan anak-anak yang tidak mempunyai tempat pergantungan memerlukan bantuan serta-merta. Tetapi, apabila kes seperti ini dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, ia mengambil masa lebih daripada sebulan untuk meluluskan bantuan. Apa salahnya jika pihak jabatan meluluskan bantuan segera untuk membantu isteri dan anak-anak supaya satu jaminan hidup dapat diberikan kepada mereka dalam keadaan yang amat terdesak dan memerlukan.
Begitu juga, banyak lagi permohonan yang dibuat tidak mendapat apa-apa jawapan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ada juga kes-kes dimana fail hilang atau tidak dapat dikesan setelah beberapa bulan permohonan dibuat. Semua ini menyusahkan lagi pemohon yang sudah pun menderita kerana tekanan hidup dan inflasi yang semakin ketara. Ramai diantara warga emas dan ibu tunggal yang memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak mendapat bantuan yang diharapkan. Setiap kali ditanya, jawapannya adalah yang sama iaitu ‘masih dalam proses’. Kenapa ini berlaku? Adakah kerajaan tidak serius untuk membantu warga miskin atau wujud ketidakcekapan yang serius dalam pentadbiran memproses bantuan kebajikan?
Kerajaan harus memberi perhatian yang sewajarnaya terhadap masalah kebajikan rakyat. Perbelanjaan ini harus didahulukan untuk menjamin kesejahteraan seluruh rakyat negara ini. Ini juga penting untuk membendung masalah sosio-ekonomi seperti jenayah, pelacuran dan sebagainya. Jika kerajaan mengambil sikap sambil lewa terhadap permohonan bantuan kebajikan maka sudah tentu ini akan menambahkan pahit maung pemohon tersebut. Selain daripada itu, keyakinan rakyat terutamanya golongan miskin akan hilang terhadap pentadbiran ini.
Oleh yang demikian pihak kementerian harus memberi satu ‘cut-off date’ untuk setiap jenis permohonan supaya ia dapat dijadikan sebagai kayu pengukur oleh semua pihak yang terlibat dalam permohonan bantuan kebajikan. Tambahan pula ini adalah penting untuk memastikan pencapaian KRA oleh semua pihak yang terlibat dalam proses pemberian bantuan kebajikan ini.
Nilai RM1.26 billion adalah terlalu besar, tetapi masalah miskin tegar masih wujud di merata pelusuk negara. Dimanakah kesilapan telah berlaku? Persoalan ini perlu dijawab melalui tindakan kerajaan memastikan proses permohonan bantuan kebajikan adalah lancer dan cepat tanpa birokrasi yang terlampau. Ini adalah penting untuk memastikan golongan miskin benar-benar dibantu tanpa sebarang diskriminasi terhadap mereka.
ADUN Tronoh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan