PENGUMUMAN

Kami telah berpindah ke laman web yang baru (www.dapperak.org)
Harap maklum.

DAP Perak Aktiviti

Jumaat, 23 Disember 2011

Rakyat Perak Tidak Mudah Lupa

sivakumar Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Tronoh pada 21/12/2011 di Ipoh.

Rakyat Perak Tidak Mudah Lupa

Dalam PRU 12 Rakyat Perak telah memberi mandat kepada PAS, DAP dan PKR untuk memerintah negeri Perak. Ketiga-tiga parti ini telah membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat untuk memerintah negeri Perak . Tetapi, kerajaan Barisan Nasional yang dengki terhadap kerajaan baru Pakatan Rakyat itu telah menggunakan pelbagai taktik kotor untuk merampas kembali kerajaan pilihan rakyat. Barisan Nasional telah menggunakan kuasa kerajaan pusat untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak. Seluruh rakyat Malaysia tahu bagaimana Barisan Nasional membeli ‘katak’ untuk mereka kembali berkuasa di negeri Perak. Rakyat Perak tidak mudah lupa. Mereka sudah bersiap sedia menghadapi pilihanraya 13 untuk memberi satu tamparan kepada Barisan Nasional yang bongkak dan rakus dalam menjatuhkan kerajaan pilihan mereka. Rakyat Perak masih ingat tentang beberapa peristiwa hitam yang berlaku di pada tahun 2009. Antaranya ialah:

1) Peristiwa lompat katak yang menghilangkan majoriti kerajaan Pakatan Rakyat di DUN Perak.

2) SPR mencabar keputusan Speaker yang mengosongkan 3 kerusi DUN iaitu Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

3) Bagaimana Setiausaha Kerajaan Negeri membuat perangai menghalau Pimpinan Pakatan Rakyat daripada bangunan SUK.

4) Bagaimana Dato Seri Nizar dipaksa untuk meletak jawatannya sebagai Menteri Besar walaupun beliau tidak mahu berbuat demikian kerana kaedah yang bertentangan dengan undang-undang.

5) Perlantikan Dato Seri Zambry sebagai Menteri Besar baru tanpa menjatuhkan Menteri Besar yang sedia ada di dalam Dewan Negeri Perak melalui undi tidak percaya.

6) Perlantikan Penasihat Undang-undang Negeri untuk mewakili Speaker di Mahkamah walaupun Speaker tidak mahu pegawai itu mewakilinya. Tujuannya adalah untuk menghalang Speaker melantik peguamnya sendiri.

7) Menghalang Speaker mengadakan sidang DUN untuk menyelesaikan krisis politik negeri Perak. Alasan diberi bahawa Speaker tidak ada kuasa memanggil dewan bersidang. Sedangkan, Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak memberi kuasa itu kepada Speaker.

8) Tidak mengakui keputusan Jawatankuasa Hak & Kebebasan yang menggantung Dato Seri Zambry selama 18 bulan dan 6 orang EXCO lain selama 12 bulan daripada menghadiri sidang DUN.

9) Menggunakan ratusan polis, FRU dan samseng untuk menghalang ADUN-ADUN memasuki bangunan SUK untuk bersidang pada 3 Mac 2009.

10) Peristiwa Persidangan Bawah Pokok yang kemuncak akibat kejahatan Barisan Nasional menghalang Speaker menjalankan kewajipannya.

11) Memecahkan plak pokok demokrasi oleh manusia-manusia yang tidak bermoral.

12) Peristiwa Persidangan 7 Mei yang memalukan Perak dan Malaysia apabila berpuluh-puluh orang anggota polis memasuki Dewan Negeri Perak untuk mengusung keluar Speaker dan menguncinya dalam sebuah bilik stor.

13) Kekecohan yang berlaku dalam Dewan Negeri kerana melantik Dato Ganesan sebagai Speaker dengan cara yang jijik dan tidak sah.

14) Semua keputusan-keputusan mahkamah dalam Kes Menteri Besar, Speaker dan Ketua Kampung berpihak kepada Barisan Nasional, walaupun ramai pakar-pakar perlembagaan tidak bersetuju dengan keputusan-keputusan itu.

15) Pengakuan yang di buat oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki baru-baru ini bahawa beliau tidak terlibat dalam melantik panel-panel hakim dalam semua kes-kes negeri Perak walaupun itu adalah keperluan mandatori mengikut peruntukan undang-undang.

16) Bagaimana Mahkamah Tinggi membuat keputusan bahawa Dato Seri Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah dan kemudian keputusan itu diubah semula pada keesokan harinya.

17) Peristiwa merampas jubah dan songkok Speaker di bangunan SUK dengan menggunakan kekerasan anggota polis.

18) Bagaimana Dewan Negeri disalah gunakan oleh Barisan Nasional dengan cara menutup MIC , tidak memberi peluang kepada ADUN-ADUN Pakatan Rakyat untuk berbahas, tidak menjawab soalan-soalan lisan dan bertulis, masa persidangan yang terlalu singkat, pihak media diletakkan dalam bilik galeri, tidak membenarkan rakaman audio dan video, berpuluh-puluh anggota polis mengawal persidangan dan macam-macam lagi.

19) Bajet 2010 diluluskan dalam 20 minit tanpa perbahasan.

20) Pelbagai laporan polis dan SPRM dibuat terhadap Speaker untuk mengertak dan mengugut Speaker daripada menjalankan tugasnya .

Semua peristiwa-peristiwa ini masih jernih dalam ingatan rakyat Perak. Barisan Nasional telah melakukan kesilapan besar dengan mengandaikan bahawa rakyat kita mudah lupa. Oleh itu, mereka telah menggunakan SPR, SPRM, mahkamah, polis, media, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri untuk merampas kerajaan rakyat secara tidak sah. Tetapi, rakyat Perak tidak akan memaafkan Barisan Nasional kerana menggunakan segala bentuk kekerasan dan taktik kotor untuk rampas satu kerajaan yang diberi kuasa oleh mereka. Oleh yang demikian, Barisan Nasional haruslah bersedia untuk menerima tamparan rakyat dalam PRU13 bukan sahaja di negeri Perak malah kesan limpahan juga akan dirasakan di peringkat persekutuan.

Khamis, 15 Disember 2011

Perak Miskin Atau Aman Jaya?

sivakumar Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 15 Disember 2011 di Ipoh.

Perak Miskin Atau Aman Jaya?

Negeri Perak pernah mempunyai satu wawasan untuk mencapai Perak Maju menjelang tahun 2015. Bolehkah matlamat ini dicapai oleh Perak? Menjawab soalan ini, Menteri Besar Perak Dato Seri Zambry mengaku bahawa negeri Perak telah tersungkur daripada landasan itu. Beliau mengaku bahawa sasaran PeraK Maju tidak boleh dicapai dalam tahun 2015. 

Walau bagaimanapun, beliau yakin bahawa Perak akan mencapai status negeri maju dalam tahun 2018 iaitu 3 tahun kemudian daripada tahun sasaran awal. Beliau memberi 2 alasan kenapa Perak tidak akan mencapai tahap negeri maju dalam 2015.

Pertama, beliau menuduh kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah negeri Perak selama 11 bulan pada tahun 2008. Beliau cuba siratkan bahawa Pakatan Rakyat telah mengagalkan agenda Perak Maju. Ini merupakan alasan yang tidak munasabah. Kerajaan Pakatan Rakyat telah meletakkan negeri Perak dalam landasan yang betul. Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah menyelamatkan negeri Perak yang telah terpesong 90° di bawah kerajaan Barisan Nasional. 

Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak pernah mendapat pujian Ketua Audit Negara dalam menguruskan dana negeri dengan cekap dan berkesan. Maka, tuduhan yang dibuat oleh Dato Seri Zambry adalah tidak berasas. 

Kedua, beliau mengatakan bahawa krisis ekonomi global juga merupakan satu sebab yang menjadi halangan untuk mencapai Perak Maju pada tahun 2015. Perkara ini tidak dapat dinafikan kerana keupayaan sesebuah negeri adalah terikat dengan ekonomi global dan tidak dapat dipisahkan daripada kitaran dan pusarannya. Alasan ini boleh diterima kerana krisis ekonomi global akan meninggalkan impak yang ketara dalam ekonomi negeri yang berpaut kepadanya.

Dalam persidangan Dewan Negeri Perak yang lepas, Dato Seri Zambry juga berhujah bahawa usaha intervensi melalui pendekatan baru yang bersifat transformasi akan dicapai dibawah program Perak Aman Jaya. Menurutnya lagi, Perak Maju digantikan dengan Perak Aman Jaya setelah dikaji semula oleh Malaysian Institute of Economic Research pada tahun 2009.

Beliau juga ada menyebut bahawa matlamat Perak menjadi sebuah negeri maju akan dicapai pada tahun 2018 dengan bantuan intervensi program-program transformasi Perak Aman Jaya. Ini adalah satu kenyataan politik yang idealistik dan tidak menpunyai asas yang kukuh. Satu daripada kriteria untuk menjadi sebuah negeri maju ialah dengan memperlihatkan nilai KDNK per kapita negeri tersebut. Bolehkah Perak mencapai status negeri maju dalam tempoh 6 atau 7 tahun lagi? 

KDNK per kapita negeri Perak adalah dalam lingkungan USD 5000 sahaja pada masa ini. Jumlah ini setanding dengan KDNK per kapita bagi negara-negara membangun ataupun masih dalam kegelapan ekonomi. Sebagai contoh KDNK per kapita Peru ialah USD 5205 dan Serbia pula mencatatkan KDNK per kapita sebanyak USD 5139. KDNK per kapita Afrika Selatan dan Dominica ialah USD7274 dan USD6632 masing-masing. Daripada perbandingan ini dapat kita menilai di manakah letaknya status ekonomi negeri Perak ketika ini. 

Berikut adalah KDNK per kapita bagi beberapa negara maju, Norway (USD84144), Qatar (USD74901), Switzerland (USD 67779), Arab Saudi (USD57884), Amerika Syarikat (USD46860) Singapura (USD 43117) Jepun (USD42783) dan Jerman (USD40274). Bukankah angka-angka ini jauh lebih tinggi nilainya daripada KDNK per kapita negeri Perak yang hanya dalam ruang lingkup USD5000? Dalam keadaan seperti ini bolehkan Perak mencapai taraf negeri maju pada tahun 2018 seperti yang dimimpikan oleh Dato Seri Zambry dibawah program Perak Aman Jaya?

V.Sivakumar

DAP Taiping mengadakan Majlis Bersunat besar-besaran terbukti dakwaan UMNO meleset

IMG_9641IMG_9646 (Gambar 1 ) : Nga Kor Ming merasmikan Majlis berkhatam besar-besaran di Masjid Ekspo Taiping dengan merenjiskan air kepada kanak-kanak yang mengambil bahagian. Turut bersama beliau adalah Zainuddin bin Mohd Yusof dan Pakaruddin Bin Abdul Aziz.

IMG_9623 (Gambar 2 ) : Nga Kor Ming dan YB Zainuddin bin Mohd Yusof menerajui rombangan perarakan sempena Majlis berkhatam besar-besaran di Masjid Ekspo Taiping.

IMG_9589 (Gambar 3 ) : Nga Kor Ming, Zainuddin bin Mohd Yusof dan barisan pimpinan mengambil gambar sebagai kenangan bersamalebih 100 kanak-kanak yang menjalani istiadat upacara bersunat.

IMG_9697 IMG_9716 

(Taiping 14-12-2011)

DAP Taiping mencipta Sejarah lagi apabila mengadakan Majlis Berkhatam secara besar-besaran di perkarangan Masjid Eskpo di Taiping untuk tiga tahun berturut-turut.

Apabila Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyddin Yassin melemparkan tuduhan terbuka terhadap DAP dengan menuduh parti tersebut sebagai parti yang “anti Melayu, anti Islam dan Anti Sultan”, DAP Taiping hari ini membuktikan bahawa dakwaan sedemikian adalah usaha licik UMNO tanpa asas untuk mengaburkan mata rakyat jelata demi melanjutkan talian hayat politik UMNO yang kini hanya disifatkan tinggal nyawa ikan sahaja.

Majlis penuh istiadat dan berwarna-warni ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang telah memberikan sumbangan peribadi sebanyak RM5,000 dari potongan elaun Ahli Parlimen beliau sebagai tanda sokongan memupuk semangat muhibbah dan perpaduan Nasional.

Dalam majlis tersebut, lebih dari 100 orang kanak-kanak yang berumur antara 4 hingga 10 tahun telah menjalani upacara berkhatam sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai muslim. Upacara perasmian tersebut turut dimeriahkan dengan perarakan yang diiringi oleh pasukan kompang dan pemancuhan air oleh kereta bomba dari unit pasukan keselamatan. Turut hadir bersama pada Majlis tersebut adalah tetamu khas dan bekas Exco Agama Negeri Perak, YB Zainuddin bin Mohd Yusof, ADUN Aulong, YB Yew Tian Woh dan Pesuruhjaya PAS Parlimen Taiping, Ustaz Pakaruddin Bin Abdul Aziz.

Dalam ucapan perasmian beliau, Nga Kor Ming telah menegaskan bahawa DAP dan Pakatan Rakyat adalah parti yang berjuang untuk semua anak Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang budaya masing-masing kerana Pakatan Rakyat bertekad untuk mewujud dan melakar landskap politik baru tanahair kita supaya menghancurkan politik perkauman yang didokong oleh parti perkauman seperti MCA, MIC dan UMNO.

Nga kor ming berkata, bertentangna dengan dakwaan UMNO, apabila Pakatan Rakyat Berjaya memenangai kerajaan Pulau Pinang, peruntukan untuk agama Islam telah meningkat 100% hingga ke RM24 juta jika dibandingkan dengan RM12 juta ketika dibawah pemerintahan Barisan Nasional.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga memberikan peruntukan sistematik tiap-tiap tahun kepada sekolah agama rakyat sebagai pengiktirifan terhadap sumbangan pendidikan Islam. Beliau memohon restu dari kaum Melayu untuk memberi peluang 5 tahun kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya supaya rakyat dapat membuat bandingan prestasi pentadbiran di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Beliau menegaskan bahawa sebagai pengundi bijak, ia adalah sangat penting bahawa pengundi menggunakan kesempatan pilihanraya mewujudkan system kerajaan yang boleh saling berganti dan hanya dengan saingan system dwi-parti ini rakyat akan memperolehi manfaat yang paling besar. “ Kita sudah bagi BN menang 12 kali dan sepanjang 54 tahun, apa salahnya kita bagi peluang sekali kepada Pakatan Rakyat untuk 5 tahun?” Nga menegaskan.

Selasa, 6 Disember 2011

SJKT Menglembu Memerlukan Bangunan Baru Dengan Segera.







Kenyataan Media YB V.Sivakumar  pada  6  Disember  2011 di Menglembu.



SJKT Menglembu Memerlukan Bangunan Baru Dengan Segera.


Adakah benar kerajaan sudah menyediakan peruntukan  untuk  membina bangunan baru untuk SJKT Menglembu. Jika benar, berapakah wang peruntukan yang telah diluluskan ? Bilakah kerajaan akan mula kerja-kerja membina bangunan baru untuk  sekolah  ini? SJKT Menglembu merupakan satu lagi sekolah Tamil yang memerlukan perhatian kerajaan dengan  segera. Sekolah ini mempunyai lebih kurang 304 orang murid pada tahun 2011. Tambahan pula ia  merupakan satu satunya sekolah Tamil di DUN Menglembu. Oleh itu, ibubapa di kawasan ini tidak ada peluang lain kecuali menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini. Saya telah membangkitkan  isu sekolah ini dalam persidangan Dewan Negeri  Perak pada 24/11/2011.


Sekolah ini menghadapi pelbagai masalah yang perlu diselesaikan dengan segera. Masalah-masalah sekolah ini telah dibawa kepada perhatian pihak-pihak yang bertanggungjawab tetapi tidak ada sebarang tindakan yang sewajarnya telah diambil setakat ini.  Setiap pemimpin yang melawat sekolah ini hanya member i janji janji kosong untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sekolah ini.



Selepas Sidang DUN ada pemimpin-pemimpin MIC negeri membuat kenyataan akhbar bahawa mereka telah menyelesaikan masalah sekolah ini. Ini tidak benar kerana tidak ada apa-apa bukti bahawa masalah yang dibangkitkan itu telah diselesaikan. Saya member amaran keras supaya jangan memberi janji kosong semata-mata untuk menipu masyarakat India dan menang pilihanraya.

Sekolah ini merupakan sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan. Tetapi, kerajaan tidak memberi perhatian yang serius untuk menyelesaikan masalah bangungan sekolah ini. SJKT Menglembu hanya memiliki  6 buah bilik darjah  utama untuk menampung 304 orang murid. Setiap bilik darjah dikongsi  untuk digunakan sebagai 2 bilik darjah.  Masalah seperti ini tidak wujud di sekolah-sekolah kebangsaan. Ini menganggu proses pengajaran dan pembelajaran  di sekolah itu. Bunyi bising dalam bilik-bilik yang dikongsi itu menimbulkan suasana yang tidak menyenangkan guru-guru dan murid-murid di sekolah ini.

Tambahan pula, bilik komputer dan perpustakaan juga telah dijadikan sebagai bilik darjah untuk menampung keperluan yang tersedak. Oleh  yang demikian , perpustakaan dan bilik komputer tidak boleh berfungsi dalam keadaan biasa.  Ini merupakan satu bukti bahawa sekolah-sekolah Tamil sentiasa dianak tirikan oleh kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri.

Walaupun kerajaan telah menjanjikan untuk membina bangunan baru untuk sekolah ini, tetapi janji itu bagaikan janji di atas angin.  Pemimpin-pemimpin MIC, seperti biasa  berkata, perkara ini ‘masih dalam perhatian dan tindakan kerajaan’. Inilah  frasa yang paling digemari oleh pemimpin-pemimpin MIC untuk melarikan diri daripada tanggungjawab.

Kerajaan boleh meluluskan peruntukan wang berjuta-juta ringgit untuk sekolah-sekolah kebangsaan tetapi sekolah Tamil Menglembu tidak dipedulikan walaupun masalah ini lama telah dibawa kepada perhatian kerajaan . Saya telah menulis surat kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengarah Pelajaran Negeri Perak pada  16 Jun 2011. Tetapi setakat ini tidak ada sebarang maklum  balas mengenai hal yang dibangkitkan . Harap kerajaan akan menggunakan wang peruntukan Kementerian Pelajaran dalam belanjawan 2012 untuk membina bangunan baru untuk SJKT Menglembu.

Pada masa ini, pihak Tamil Pallithirvukullu sedang mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan ibubapa untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh sekolah ini. Jika masalah ini tidak diselesaikan segera, maka satu tindakan yang lebih drastik perlu diambil untuk mencubit telinga pemimpin-pemimpin yang pura-pura tidur.



YB V.Sivakumar
ADUN Tronoh