PENGUMUMAN

Kami telah berpindah ke laman web yang baru (www.dapperak.org)
Harap maklum.

DAP Perak Aktiviti

Selasa, 11 Oktober 2011

Khidmat Guaman Percuma Di Pusat Khidmat DUN Tronoh


Kenyataan Media oleh YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh pada 11/10/2011 di Batu Gajah



Khidmat Guaman Percuma Di Pusat Khidmat DUN Tronoh.


Pusat Khidmat DUN Tronoh telah mengadakan program Khidmat Guaman Percuma untuk penduduk-penduduk Batu Gajah dan sekitarnya. Program ini telah diadakan pada  24/9/2011. Ia dibantu oleh 3 orang peguam Pakatan Rakyat iaitu Augustine Anthony, Baldip Singh dan Leong Cheok Keng. Sebanyak 11 kes telah dirunding secara percuma pada petang itu di Pusat Khidmat DUN Tronoh.  

Tujuan program ini diadakan untuk membantu orang-orang miskin yang memerlukan khidmat nasihat guaman secara percuma.  V.Sivakumar, ADUN kawasan Tronoh mengucapkan terima kasih kepada semua peguam-peguam yang berkerjasama membantu menjayakan program ini. Oleh kerana sambutan yang baik daripada orang ramai, program seperti ini akan diadakan dari masa ke semasa.


YB V.Sivakumar
ADUN Tronoh

YB V.Sivakumar : Program Kelas Komputer Untuk Menanam Minat Muda





Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh di Batu Gajah.


Program Kelas Komputer Untuk Menanam Minat Muda

Pusat Khidmat DUN Tronoh telah menganjurkan kelas computer percuma selama 2 hari untuk 42 orang warga Batu Gajah.  Program percuma ini telah diadakan di Pusat Khidmat DUN Tronoh, Batu Gajah pada 10 dan 11 September 2011. Program ini dilaksanakan oleh tenaga pengajar yang dilantik oleh 
K-Perak.  Matlamat  program ini diadakan adalah untuk menanam minat terhadap teknologi maklumat kepada orang-orang yang mempunyai pendedahan yang kurang dalam pengendalian computer.
Program ini bertujuan memberi pendedahan ringkas menggunakan aplikasi Photoscape. 

Setelah menjalani latihan tersebut pelajar-pelajar  sudah boleh menggunakan aplikasi itu untuk menyunting gambar dan membuat pelbagai rekabentuk . Pendedahan seperti ini adalah sangat penting untuk membolehkan anak-anak muda kita menaruh minat dalam bidang komputer.  Masa lapang mereka boleh digunakan dengan lebih baik mempelajari aplikasi-aplikasi komputer yang  lain.

Semua pelajar-pelajar telah memberi sambutan yang baik dan meminta supaya program sedemikian diadakan dari masa ke semasa. Pusat Khidmat DUN Tronoh akan terus berusaha mengadakan program-program seperti ini untuk kebaikan masyarakat setempat.


V.Sivakumar
ADUN Tronoh

Isnin, 3 Oktober 2011

Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak ke-16 akan diadakan pada 09.10.2011 (Ahad) pukul 10 pagi di Bilik Konvensyen, Hotel Ritz Garden, Ipoh

Kenyataan Akhbar daripada Setiausaha Publisiti DAP Negeri Perak, YB Wong Kah Woh pada 01.10.2011 (Sabtu) di Wisma DAP Negeri Perak, Ipoh:

Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak ke-16 akan diadakan pada 09.10.2011 (Ahad) pukul 10 pagi di Bilik Konvensyen, Hotel Ritz Garden, Ipoh. Konvensyen tersebut dianggarkan akan menarik kehadiran lebih kurang 980 orang wakil dari 140 cawangan dalam DAP Negeri Perak.

Pihak pimpinan DAP amat mengambil berat terhadap konvensyen pada tahun ini yang mana ia merupakan konvensyen negeri terakhir untuk DAP Perak sebelum berlangsungnya PRU ke-13 yang akan diadakan dalam bila-bila masa. Konvensyen tersebut akan dibuka secara rasmi oleh Setiausaha Agung DAP Malaysia, Sdr. Lim Guan Eng, manakala Pengerusi DAP Perak Sdr. Ngeh Koo Ham akan menyampaikan ucapan polisi DAP Perak untuk satu tahun yang akan datang.

Memandangkan rombongan pewakilan adalah amat besar, para pewakilan daripada cawangan-cawangan DAP Perak adalah digalakkan supaya mendaftarkan diri pada konvensyen seawall yang mungkin yang mana kaunter pendaftaran akan dibuka seawall 8.30 pagi.

Pada masa yang sama, demi menghadapi PRU ke-13 yang akan datang, Jawatankuasa DAP Negeri Perak akan mengemukakan 22 resolusi untuk diterima oleh pewakilan dalam konvensyen tersebut. Kesemua 22 resolusi tersebut meliputi isu-isu dan polisi-polisi Negara dan Pakatan Rakyat kepentingan Rakyat dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, agama.

Resolusi-resolusi tersebut akan dibentangkan dan dibuka untuk perbahasan oleh para pewakilan. DAP Perak berharap supaya kesemua resolusi-resolusi tersebut dapat diterima sebulat suara oleh para pewakilan.

Resolusi yang dibentangkan oleh Jawatankuasa DAP Negeri Perak untuk Konvensyen Tahunan DAP Perak ke-16 pada 09.10.2010 di Hotel Ritz Garden, Ipoh.

Titik Hitam Sejarah Negeri Perak

1. MENGECAM tindakan Barisan Nasional dalam rampasan kuasa Negeri Perak yang berlaku di bulan Februari 2009 yang menyebabkan krisis perlembagaan yang berlarutan dan kelumpuhan Dewan Negeri Perak DAN MENYERU Warga Negeri Perak untuk menyokong calon-calon Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya yang akan datang demi memulihkan system demokrasi di Negeri Perak.

Keadilan untuk Sdr. Teoh Beng Hock

2. MENDESAK Pendakwaraya untuk mengambil tindakan dan mendakwa 3 orang Pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Diraja yang telah melanggari prosidur penyiasatan dan secara tidak langsung menyebabkan kematian Sdr. Teoh Beng Hock di bawah Kanun Keseksaaan.


Politik, Ekonomi, Pendidikan dan Agama

3. MEMUJI kuasa Rakyat yang berjaya memaksa Kerajaan Pusat Barisan Nasional mengumumkan untuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 MENDESAK Kerajaan untuk memohon maaf kepada kesemua tahanan ISA yang telah sebelum ini ditahan tanpa perbicaraan serta melepaskan kesemua tahanan ISA atau menghadap mereka ke Mahkamah untuk suatu perbicaraan yang adil MENYERU Kerajaan Pusat Barisan Nasional yang bakal mengubal 2 undang-undang baru sebagai gantian kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 untuk memastikan bahawa tidak ada budi bicara subjektif yang diberikan kepada Menteri atau pihak polis untuk menahan seseorang tanpa perbicaraan di Mahkamah.

4. MENDESAK Kerajaan Pusat Barisan Nasional memansuhkan Akta Rahsia Rasmi, Akta Percetakan dan Pernerbitan, Akta Kolej dan Universiti serta segala undang-undang darurat secara keseluruhan demi menepati intipati Demokrasi dan Konsep Keadilan.

5. MENDESAK Kerajaan Pusat Barisan Nasional untuk memansuhkan peruntukkan permit penerbitan secara keseluruhannya untuk menjamin kebebasan penyebaran maklumat.

6. MENYERU Kerajaan Pusat Barisan Nasional meminda Akta Kerajaan Tempatan 1960 dan membolehkan pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan.

7. MENYESAL Kerajaan Pusat Barisan Nasional yang sehingga kini enggan dan gagal untuk mengiktiraf hak berkumpul secara demokrasi yang terjamin di bawah sistem demokrasi dan MENDESAK Kerajaan Pusat Barisan Nasional untuk memberikan layanan adil dan saksama kepada semua parti politik tanpa diskriminasi.

8. BERIKRAR untuk mempertahankan perjuangan parti berlandaskan falsafah demokratik sosial dan visi Malaysian Malaysia dan komited untuk merealisasikannya menerusi urustadbir yang baik dan beretika dan melalui pengubalan undang-undang, politik dan program oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan di bawah pimpinan Pakatan Rakyat.

9. MENYERU Kerajaan Pusat Barisan Nasional untuk mengambil tindakan drastik dalam mengupah kakitangan bukan Melayu memandangkan isu berkenaan ketidakseimbangan kaum di sector perkhidmatan awam adalah amat serius.

10. BERUSAHA menghapuskan doktrin perkauman sehingga ke akar umbi dan seterusnya meningkatkan hubungan sesama rakyat, kakitangan kerajaan, ahli politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

11. MENYERU Kerajaan Pusat Barisan Nasional mengkaji semula Perjanjian Konsesi Lebuhraya Utara-Selatan dan MENCABAR Kerajaan Pusat Barisan Nasional untuk menghapuskan segala kutipan tol Lebuhraya Utara Selatan.

12. MENYERU Kerajaan Persekutuan untuk meminda Akta Pendidikan 1996 supaya menjamin kedudukan kesemua sekolah jenis kebangsaan di Negara ini.

13. MENGUTUK Kerajaan Pusat Barisan Nasional yang masih gagal dan enggan untuk mengiktirafkan Sijil Unified Exam SUWA dan MENDESAK Kerajaan Pusat Barisan Nasional untuk mengiktirafkan Sijil Unified Exam SUWA dengan segera tanpa syarat dan MENDESAK Kerajaan Pusat Barisan Nasional memberikan peruntukkan tetap yang mencukupi kepada Sekolah SUWA dan Sekolah Agama Rakyat.

Polisi Pakatan Rakyat dan Perjuangan berlandaskan Rakyat

14. BERJANJI akan mempertahankan kebajikan Rakyat dan mengemukakan semula polisi pemberian hakmilik kekal untuk Rancangan Kampung Tersusun dan Kampung Baru Cina sekiranya Pakatan Rakyat kembali ke tampuk pemerintahan Negeri Perak.

15. MENYOKONG pendirian Pakatan Rakyat Perak untuk memberikan pembaharuan Geran tanah sekurang-kurangnya selama 99 tahun secara otomatik untuk tanah-tanah perusahaan, pertanian dan perumahan (jenis pajakan) dengan bayaran premium yang munasabah dan tidak membebankan Rakyat.

16. MENYOKONG Pakatan Rakyat Perak untuk meneruskan polisi pemberian tanah untuk menampung keperluan golongan bukan Islam untuk mendirikan kuil dan gereja.

17. MENGUTUK tindakan Indah Water Konsortium yang mengambil tindakan Mahkamah terhadap Rakyat yang bertujuan memaksa Rakyat membayar caj pembetungan tanpa memberikan perkhidmatan kepada penghuni-penghuni premise berkenaan.

18. BERJANJI bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri akan memberikan peruntukkan khas sebanyak RM5 juta setahun untuk membantu golongan kaum India yang mempunyai keperluan dan miskin apabila menjadi Kerajaan Negeri semula di Negeri Perak.

19. MENYOKONG rancangan Pakatan Rakyat Perak untuk memberikan tanah atau menjual rumah yang siap terbina dengan harga diskaun untuk tujuan kediaman kepada mereka yang tidak mempunyai rumah khasnya rakan-rakan India di estet dan mereka yang tinggal di rumah setinggan.

20. BERPENDIRIAN bahawa insitusi Ketua Kampung diiktiraf di sisi undang-undang dan pilihanraya demokrasi dijalankan untuk memilih Ketua Kampung dan MENDESAK Kerajaan Barisan Nasional Negeri Perak untuk membentangkan Rang Undang-Undang di Dewan Negeri untuk mencapai matlamat tersebut.

21. MENDESAK Kerajaan Barisan Nasional untuk menyenaraikan semua penerima-penerima 68,503 ekar tanah yang telah diluluskan oleh Kerajaan Barisan Nasional Perak sejak rampasan kuasa.

22. MENDESAK Kerajaan Barisan Nasional untuk mengkaji semula perjanjian Independent Power Producer (IPP) supaya membolehkan Tenaga Nasional Berhad untuk menawarkan bekalan elektrik dengan tariff yang lebih murah.

Ahad, 2 Oktober 2011

YB Dato' Ngeh Koo Ham : Pengakuan Zaki buat bicara MB lwn MB tak sah.(Petikan dari Malaysiakini)


Ngeh: Pengakuan Zaki buat bicara MB lwn MB tak sah
Andrew Ong
Okt 1, 11
5:03pm



Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes yang membabitkan krisis perlembagaan Perak perlu dianggap tidak sah ekoran pengakuan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi bahawa beliau tidak terbabit dalam pembentukan panel hakim yang mendengarnya, kata DAP Perak.

NONEPengerusinya, Datuk Ngeh Khoo Ham berkata pengakuan Zaki 
yang beliau tidak terbabit dalam pembentukan penal lima hakim panel yang mendengar kesDatuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, adalah salah di sisi undang-undang.

Memetik kes Majlis Peguam lwn Tan Sri Abdul Hamid Omar [1989] 2 MLJ muka surat 281, beliau berkata Mahkamah Agung pada tahun 1989 memutuskan bahawa pembentukan panel hakim Mahkamah Persekutuan hanya boleh dibuat oleh Ketua Hakim Negara.

"Ekoran keputusan Mahkamah Agung itu - mahkamah tertinggi di negara ini - maka pembentukan panel hakim Mahkamah Persekutuan oleh mana-mana orang lain, adalah tidak dibenarkan.

"Oleh yang demikian, keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai kes krisis Perak adalah tidak sah," kata Ngeh (kanan) kepada Malaysiakini.

Dalam kes pada tahun 1989 itu, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa hanya ketua hakim negara sahaja berhak untuk mengada dan membentuk panel hakim Mahkamah Agung untuk mana-mana prosiding.



Dipetik dari Malaysiakini.
(http://www.malaysiakini.com/news/177433)

YB V.Sivakumar : Selesaikan Masalah Tanah SJKT Gunung Rapat








Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh, Timbalan Pengerusi DAP Perak di Ipoh pada  1 Oktober 2011.



Isu tanah untuk SJKT Gunung Rapat, Ipoh bukanlah satu masalah yang baru. Permohonan tanah telah dibuat banyak kali tetapi tidak ada apa-apa tindakan munasabah yang telah diambil oleh pihak-pihak yang terlibat. Melambat-lambatkan  proses ini mengakibatkan tanah  yang dipohon itu diserahkan oleh  pentadbir  tanah kepada pihak lain untuk tujuan-tujuan tertentu. Akhirnya segala usaha yang  telah diambil oleh pihak sekolah dan PIBG menjadi sia-sia.  Kemudian mereka dikehendaki mencari satu tapak baru untuk sekolah tersebut. Perkara ini  berulang  tahun demi tahun tetapi yang tinggal hanyalah janji kosong.

Perkara ini sungguh mengecewakan kerana sekolah ini tidak dipedulikan  langsung dan hanya ditaburkan dengan janji-janji manis.  Jelas bahawa pihak kerajaan negeri tidak ada niat untuk memberikan  tanah kepada sekolah ini. Oleh kerana SJKT Gunung Rapat ini terletak di kawasan bandar, adalah sukar untuk mencari  tapak tanah yang luas  lebih kurang 5 ekar. Setiap tanah yang pernah  dikenal pasti itu juga diserahkan kepada pihak lain. Ini tidak adil kerana sekolah ini sangat memerlukan  satu tapak tanah yang baru di sekitar kawasan itu.

Sekolah ini tidak mempunyai padang dan  bilik darjah  juga tidak mencukupi. Tambahan pula lokasi sekolah ini juga tidak sesuai dari segi keselamatan jalan raya dan sebagainya. Banyak lagi masalah infra-struktur yang wujud di sekolah tersebut. Nasib sekolah ini tidak akan berubah jika  kerajaan negeri  mengambil sikap sambil lewa dalam menangani masalah yang dibangkitkan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa  masalah sekolah ini langsung tidak dipedulikan oleh pihak kerajaan. Jika benar mereka ikhlas dalam membantu sekolah ini, sudah tentu masalah ini telah  lama diselesaikan . Tetapi, sampai ke hari ini masalah tanah untuk sekolah ini masih lagi belum  dibawa kepada perhatian Pejabat Tanah dan Galian lagi. Saya telah membuat semakan di Pejabat Tanah dan Galian  Ipoh pada minggu lepas.  Pejabat itu tidak ada sebarang rekod berhubung dengan permohonan  untuk tapak tanah baru untuk SJKT Gunung Rapat. Mungkin permohonan itu masih lagi mengeram telur  di Pejabat Tanah Manjoi.  Ini adalah bukti bahawa permohonan tapak baru untuk sekolah ini berganjak  lebih perlahan daripada kura-kura. Siapakah yang bertanggung jawab untuk mendapatkan tanah untuk sekolah ini kalau bukan pemimpin-pemimpin MIC ? Tetapi mereka gagal dalam menjalankan tanggungjawab mereka lalu mengambil sikap tidak peduli terhadap permohonan tanah sekolah ini.

Akhirnya, Datuk Seri Chua Soi Lek  yang melawat ke kawasan parlimen Gopeng pula telah menjanjikan bahawa  beliau akan membantu mendapatkan tapak tanah baru untuk sekolah tersebut. Tetapi tidak ada apa-apa perkembangan selepas janji  yang  dibuat oleh beliau itu. Walau bagaimanapun,  sungguh memalukan bagi pihak MIC kerana masalah yang mereka tidak dapat selesaikan  itu sekarang berada  dalam bakul MCA.  Apakah MCA boleh selesaikan masalah ini dan mengores arang di atas muka pemimpin-pemimpin MIC? Perkara ini  masih lagi menjadi satu tanda tanya di kalangan orang ramai.

Baru-baru ini satu memorandum juga telah diberikan oleh pihak sekolah  kepada Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau membuat lawatan ke Taman Song Choon, Gopeng. Ini juga membuktikan bahawa pihak sekolah dan ibubapa  sudah hilang harapan dengan pemimpin-pemimpin MIC . 

Saya juga sungguh tertaik dengan kenyataan akhbar yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin MIC supaya saya tidak membuat perhimpunan aman  pada 2 Oktober 2011 di hadapan SJKT Gunung Rapat.  Mereka mendakwa bahawa semua kerja-kerja sedang dilaksanakan untuk memberi tapak baru untuk sekolah itu.  Saya meminta mereka supaya jangan memperbodohkan rakyat lagi kerana tidak ada sebarang  usaha murni untuk memberi tapak baru untuk sekolah ini.  Ini adalah kerana pihak Pejabat Tanah dan Galian sendiri tidak mengetahui tentang permohonan lagi. Tambahan pula,  sudah ada projek di tapak baru yang dicadangkan 6 bulan yang lalu. Baru-baru ini pihak Majlis Bandaraya Ipoh mendirikan beberapa kiosk dan trek jalan kaki di tanah lapang yang dicadangkan itu.
Pembinaan struktur-struktur baru ini seolah-olah dilakukan dengan niat untuk menghalang pemberian tanah untuk sekolah tamil ini. Akhirnya seperti biasa, pihak kerajaan akan member i alasan bahawa tanah yang dicadangkan itu telah diserahkan untuk projek lain. Pihak sekolah akan diminta untuk mencari tapak baru yang lain.  Kitaran proses ini akan bermula sekali lagi dan  masalah ini tidak akan menemui hujungnya. 

Perhimpunan aman yang akan diadakan oleh ibubapa dan penduduk Gunung Rapat adalah dengan harapan  pihak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan mengambil berat tentang masalah SJKT Gunung Rapat  dan menyelesaikannya dengan serta merta. 

YB V.Sivakumar
ADUN Tronoh