PENGUMUMAN

Kami telah berpindah ke laman web yang baru (www.dapperak.org)
Harap maklum.

DAP Perak Aktiviti

Khamis, 29 Julai 2010

Selekoh merbahaya – tiada keselamatan kepada penghuni rumah.


Selekoh merbahaya – tiada keselamatan kepada penghuni rumah.

Pada Ahad yang lalu lebih kurang pukul 5.35 petang sebuah kereta yang melalui Lebuh Pasir Puteh, di Taman sentosa telah terlibat dalam kemalangan.

Kejadian itu berlaku apabila kereta berjenama Proton Waja  terbabas daripada kawalannya dan melanggar tiang lampu di hadapan rumah En. Yep Soh Ha @ Yep Low Meng, 70.

Akibat daripada kemalangan tersebut, tiang lampu konkrit tersebut telah patah. Walaubagaimanapun tidak kecederaan berlaku kepada orang awam.

Oleh kerana tiang lampu tersebut ditarik oleh kedua-dua bahagian wayarnya maka tiangnya masih berdiri di kawasan tersebut.

Ex. Clr. Lee Kin Chiew yang juga Pengerusi DAP Pasir Pinji bersama Jeremy Chuah, Naib Pengerusi DAP Pasir Puteh menuju ke tempat kejadian setelah mendapat panggilan daripada orang awam.

Beliau telah menelefon pihak TNB untuk tindakan segera di ambil bagi mengelakan kejadian kejutan elektrik berlaku.

Pada pukul 8.00 malam pihak TNB telah datang ke tempat kejadian untuk membaiki serta menukar  tiang lampu tersebut.

Penghuni rumah, En. Yap Soh Ha meminta pihak berkuasa supaya membina tadahan dan ‘speed breaker’ supaya kenderaan yang melalui jalan tersebut dapat mengawal kelajuan. Ini dapat membantu kejadian seperti ini tidak berlaku lagi.

Menurut beliau kejadian seumpama ini bukanlah berlaku pada kali yang pertama malah telah belaku banyak kali sehinggakan beliau terpaksa mengeluarkan wang untuk memperbaiki pintu pagar di hadapan rumah beberapa kali.

Beliau juga pernah melaporkan perkara ini kepada pihak MBI tetapi tiada tindakan diambil.

Lee Kin Chiew memohon pihak MBI untuk membina bonggol serta mengadakan lampu isyarat berkelip supaya pemandu kenderaan dapat melihat isyarat selekoh merbahaya tersebut.

Mengikut Jeremy Chuah jika benar rakyat didahulukan pencapaian diutamakan, silalah ambil tindakan segera sebelum sebarang malapetaka berlaku.

Disediakan oleh,

Lee Kin Chiew
Bekas Ahli Majlis
016-5330313

Rabu, 28 Julai 2010

Kenyataan akhbar daripada D.Tanabalan, Setiausaha Politik kepada YB. M. Kula Segaran, Ahli Parlimen Ipoh Barat di Ipoh.

(28hb Julai 2010)

Kekurangan pemantauan MBI menyebabkan rakyat terpaksa menghidu bau busuk daripada longkang sepanjang Jalan Guntong, Buntong, Ipoh. Longkang tersebut dipenuhi dengan semak samun dan rumput yang panjang.


Penduduk setempat mendakwa tiada penyelenggaraan dilaksanakan oleh MBI sejak enam bulan.

Jeremy Chuah (Naib Pengerusi DAP Pasir Puteh) & D. Tanabalan (Setiausaha Politik kepada YB. M. Kula Segaran, Ahli Parlimen Ipoh Barat) telah meninjau kawasan berkenaan bersama penduduk sekitar.

Longkang sedalam empat hingga lima kaki tersebut di Jalan Guntong adalah merupakan longkang utama bagi kawasan kediaman dan kawasan perniagaan di sekitarnya.

Longkang ini penuh rumput panjang menyebabkan pengaliran air terganggu serta berlaku takungan air apabila hujan dan  tidak dapat mengalir dengan sempurna disebabkan oleh pasir dan lumpur sehingga mengeluarkan bau yang busuk.

Berturutan masalah tersebut penduduk sekitar juga mengadu bahawa pembiakan nyamuk berleluasa dan kes-kes demam denggi meningkat.

Pihak MBI diminta agar membuat pemantauan serta mengambil tindakan keatas mana-mana pekerja & kontraktor yang berkenaan yang tidak menjalankan tugas bagi mengatasi masalah kesihatan daripada merebak.

Dimanakah pendirian MBI dimana slogannya menyatakan Mesra, Bersih dan Indah tetapi keadaan sebenarnya bertentangan.


D. Tanabalan (010-3993 020)
Setiausaha Politik kepada YB. M. Kula Segaran, Ahli Parlimen Ipoh Barat
Pengerusi DAP Kepayang
Ahli Jawatankuasa Negeri DAPSY Perak

Rabu, 21 Julai 2010

YB V.Sivakumar : Keluarga Mangsa Kuala Dipang Terima RM25 000

Kenyataan Media YB V.Sivakumar ADUN Tronoh pada 20 Julai 2010 di Gopeng.

Keluarga Mangsa Kuala Dipang Terima RM25 000

Pada 26 Oktober 2009 telah berlaku satu insiden yang menyedihkan di Kuala Dipang, Kampar.  Tiga murid sekolah rendah telah mati lemas akibat keruntuhan sebuah jambatan gantung di Kuala Dipang. Mangsa kejadian itu ialah Divyasri (12), Dina Devi (11) dan Devatharshini (11). Mereka menghadiri program Kem 1Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran. 

Pakatan Rakyat Perak telah menubuhkan satu Jawatankuasa untuk menyiasat dan melaporkan insiden jambatan runtuh ini. Jawatankuasa ini diketuai oleh YB V.Sivakumar  (Tronoh) dan ahli-ahlinya ialah YB Chang Lih Kang (Teja), YB Thomas Su (Pasir Pinji) dan YB Khalid Idham Lim (Titi Serong). Jawatankuasa tersebut telah melaksanakan siasatan dengan sempurna dan telah melaporkan hasil siasatannya kepada orang ramai. Pada masa yang sama YB Sivanesan (Sungkai) sebagai seorang peguam telah menfailkan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh mewakili keluarga mangsa.

Jawatankuasa Siasatan Jambatan Kuala Dipang Pakatan Rakyat telah mendedahkan punca-punca keruntuhan jambatan itu dengan jawapan teknikal.  Jawatankuasa dibantu oleh jurutera pakar, juru ukur tanah bertauliah dan pakar-pakar yang lain.

Kementerian Pelajaran juga telah melantik satu jawatankuasa untuk menyiasat kejadian itu bagi pihak kerajaan. Jawatankuasa itu juga telah menyiapkan hasil siasatan tetapi ianya tidak didedahkan untuk makluman orang ramai. Kementerian Pelajaran seharusnya  lebih telus dalam soal ini kerana kejadian ini telah meragut tiga nyawa kanan-kanak yang tidak berdosa.  Pendedahan ini akan menghalang kejadian seperti ini supaya tidak berulang sekali lagi.

Pada  6 Julai 2010,  rombongan Jawatankuasa Kuala Dipang Pakatan Rakyat  bersama-sama dengan keluarga mangsa telah pergi ke Parlimen untuk bertemu dengan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong.  Satu temubual telah diadakan selama 1 jam di biliknya di Parlimen. Dalam perbincangan itu 2 perkara ditimbulkan iaitu:

1)    Meminta supaya Kementerian Pelajaran mendedahkan hasil siasatan jambatan runtuh tersebut kepada orang ramai secepat yang mungkin. Tindakan diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat tanpa tolak-ansur.

2)    Mendapati sekolah-sekolah di seluruh Malaysia telah mengutip sumbangan derma untuk keluarga mangsa. Tetapi, keluarga mangsa tidak menerima apa-apa dana daripada pihak sekolah mahupun kementerian hasil kutipan sumbangan tersebut. Meminta Timbalan Menteri menyiasat hal ini dan menyerahkan sumbangan yang dikutip kepada keluarga mangsa secepat yang mungkin.

Selepas itu, dalam tempoh 2 minggu  keluarga mangsa menerima satu surat jemputan daripada SK Tamil Manbang Diawan untuk menghadiri satu majlis di sekolah pada 16 Julai 2010. Dalam majlis itu, Timbalan Pengarah PPD kampar En Azlan telah menyerahkan cek berjumlah RM 25312.55 kepada setiap keluarga. Ini merupakan  sumbangan  yang dikutip daripada sekolah-sekolah di seluruh Perak yang berjumlah RM75937.65.

Ini merupakan sumbangan yang dikutip di sekolah-sekolah di Negeri Perak. Jika sekiranya sumbangan sedemikian ada juga dikutip di tempat-tempat lain, sumbangan itu harus disalurkan kepada keluarga mangsa secepat yang mungkin.

Walau bagaimanapun, kerajaan masih tidak terlepas daripada tanggungjawab. Laporan siasatan Kementerian Pelajaran harus didedahkan kepada orang ramai. Itulah matlamat dan permintaan ibu bapa mangsa yang masih tidak keluar daripada trauma kehilangan anak kesayangan mereka.  Mereka mahu mengetahui kebenaran dalam kejadian yang  buruk ini. Kerajaan harus mengaku bersalah kerana melancarkan kem 1Malaysia ini tanpa perancangan yang rapi dan mengabaikan keselamatan kanak-kanak sekolah.

Salah seorang bapa mangsa meminta pihak media melaporkan fakta-fakta yang benar mengenai kes ini  supaya ia tidak disongsangkan atau memudaratkan mereka.  Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Ad Hoc Pakatan Rakyat yang membantu dalam hal ini.

Isnin, 19 Julai 2010

YB Nga Kor Ming : Demi banteras rasuah, Rakyat berhak tahu ke mana perginya jumlah RM592 billion sumbangan dari PETRONAS

 (Gambar)1 :  Pemimpin DAP mengadakan majlis mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock yang meninggal dunia genap 1 tahun ketika beliau ditahan oleh SPRM pada 16hb Julai, 2009.

 (Gambar) 2 : YB Nga Kor Ming mendesak kerajaan mengumumkan kepada rakyat di mana jumlah sumbangan PETRONAS sebanyak RM592 billion!

RAKYAT BERHAK MENGETAHUI KE MANA PERGINYA RM592 BILLION SUMBANGAN PETRONAS KEPADA KERAJAAN DEMI MENGELAKKAN RASUAH!!

(Ipoh 18-7-10)

Timbalan Bendahari Agong DAP, YB Nga Kor Ming hari ini menggesa pihak kerajaan mengumumkan ke mana perginya jumlah sumbangan PETRONAS sebanyak RM592 billion kepada kerajaan sejak syarikat Negara tersebut ditubuhkan pada tahun 1974 demi ketelusan dan akauntabiliti.


Nga Kor Ming yang juga merupakan Ahli Parlimen Taiping hari ini mengeluarkan kenyataan mendedahkan, bahawa sejak PETRONAS ditubuhkan pada 1974, syarikat Gergasi tersebut telah membayar RM592 billion kepada kerajaan. Pada tahun 2008, PETRONAS membayar RM61.6 billion, manakala pada tahun 2009 sebanyak RM74 billion telah dibayar. Pada tahun ini walaupun ia merosot sebanyak RM16.4 billion, jumlah sumbangan PETRONAS kepada kerajaan masih berjumlah RM58.3 billion termasuk RM30 billion sebagai dividen.

Demi mengelakkan rasuah dan jumlah harta Negara tidak tertumpu kepada segelintir kroni, adalah tanggungjawab kerajaan mengumumkan bagaimana kekayaan atau khazanah Negara tersebut diurus dan ditadbirkan.

Nga Kor Ming berkata, dalihan kerajaan demi mengelakkan tanah air kita menjadi muflis menjelang tahun 2019, maka adalah perlu subsidi distrukturkan semula. Bagaimanapun, alasan kerajaan jelas meleset khususnya rakyat dapat lihat dengan nyata bagaimana wang rakyat diboros dan dibazirkan dengan pelbagai angkara yang turut didedahkan oleh laporan Ketua Aunit Negara Setiap tahun. Laporan Ketua Audit Negara pernah mendedahkan Negara kita mengalami kerugian RM28 billion setiap tahun akibat penyelewengan, ketirisan dan pemborosan pengurusan kewangan agensi dan Jabatan-jabatan kerajaan di bawah pimpinan BN.
Nga Kor Ming berkata demikian ketika menghadiri majlis ulang tahun DAP Ipoh ke-44 di sini pada hari ini.

Nga : Perbelanjaan mengurus JPM meningkat 150%  dari RM1.5 billion menjadi RM4 billion dalam tempoh 8 tahun

Nga Kor Ming turut mendedahkan bahawa perbelanjaan Jabatan Pedana Menteri telah meningkat sebanyak RM2.5 billion dalam tempoh 8 tahun sahaja sejak tahun 2003. Beliau berkata, menurut jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Nazri bin Tan Seri Aziz di Dewan Rakyat, jumlah kakitangan di Jabatan Perdana Menteri telah meningkat dari 21,045 menjadi 43,544 orang dalam tempoh 8 tahun. Jumlah kos pengurusan jabatan tersebut juga meningkat dari RM1.5 billion setahun menjadi RM4 billion satu tahun.

Nga menegur kewibawaan pengurusan kerajaan BN kerana mewujudkan pelbagai jawatan untuk kroni parti politik semata-mata. Sebagai contoh, pegawai penyelaras BN dilantik di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dengan menggunakan wang rakyat.

Menurut beliau, kerajaan melantik ahli parti komponen BN menjadi pegawai penyelaras di kawasan yang dimenangi oleh PAKATAN RAKYAT dengan gaji RM5,000 dan RM4,000 masing-masing dibayar kepada mereka yang kalah pada pilihanraya. “ Ini adalah tidak masuk akal kerana rakyat terpaksa menanggung kos tersebut manakala calon BN yang kalah menikmati imbuhan tanpa perlu kerja. Tabung rakyat diseleweng menjadi tabung parti, manakala kegagalan SPRM mengambil tindakan adalah amat mengecewakan sekali.”Nga berkata. 

Lebih 1,000 rakyat menghadiri majlis tersebut. Turut hadir adalah pemimpin Parlimen DAP, YB Lim Kit Siang, Speaker Dewan Negeri Selangor, Dato Teng Chang Khim, Pengerusi DAP Perak, Dato Ngeh Koo Ham, Ahli Dewan Negeri Tebing Tinggi, Ong Boon Piow, ADUN Bercham, Sum Cheok Leng dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi. Majlis tersebut juga mengucapkan takziah kepada mendiang Teoh Beng Hock yang meninggal dunia genap 1 tahun ketika beliau ditahan oleh SPRM tetapi mati di bawah tahanan.

Sabtu, 17 Julai 2010

Kenyataan Media Yb V.Sivakumar pada 17/7/2010


Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tronoh dengan kerjasama DAP Cawangan Kampung Baru Nalla telah menganjurkan satu program semakan daftar pengundi di tapak pasar malam bersebelahan dengan pasar awam Tronoh pada 16/7/2010. Program dimulakan pada pukul 6.30 petang. Sambutan untuk program ini adalah sangat menggalakkan. Ramai yang berminat untuk mengetahui taraf mereka sebagai pengundi.

Didapati seramai 13 orang mahu menukar alamat mengundi mereka mengikut alamat kad pengenalan mereka. Namun penukaran ini hanya boleh dilakukan di SPR dan Pejabat Pos besar.Ini adalah satu amalan birokrasi yang menyusahkan para pengundi. ADUN Tronoh YB V. Sivakumar menyeru SPR supaya mengkaji semula polisi yang membebankan ini. Katanya; bagi mereka yang sudah menukar alamat kad pengenalan adalah wajar untuk Penolong Pendaftar Pengundi yang dilantik oleh SPR membuat pertukaran alamat pengundi tersebut yakni para pengundi tersebut tidak perlu pergi ke SPR dan Pejabat Pos.

Dijangka beribu-ribu pengundi di seluruh negara tidak mengubah alamat mengundi mereka walaupun telah menukar alamat di kad pengenalan. YB V.Sivakumar menyeru agar orang ramai  yang layak mengundi memeriksa kedudukan mereka sebagai pengundi. Sesiapa yang ingin menyemak status mengundi boleh berbuat demikian dengan mengakses laman web rasmi SPR iaitu www.spr.gov.my

Sekian

Thiruthani Kannavelo
Setiausaha Media

Khamis, 8 Julai 2010

YB Nga Kor Ming : Tidak ada orang kena dakwa walaupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menelan RM292 juta runtuh dalam tempoh 10 bulan



(Kuala Lumpur 8-7-10)

Tidak ada orang kena dakwa walaupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu bernilai RM292 juta runtuh dalam tempoh 10 bulan.


Ahli Parlimen Kawasan Taiping, Nga Kor Ming hari ini mendedahkan walaupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu yang menelan belanja RM292 juta runtuh dalam tempoh 10 bulan setelah pembukaan rasmi, tidak ada sesiapapun didakwa atas kejadian yang menjejaskan imej Negara.

Nga Kor Ming berkata di parlimen hari ini, mengikut jawapan dari Menteri Kerja Raya, Dato Seri Shaziman, kontraktor utama projek berkenaan, iaitu Konsortium Bina Struktur-Emarcon-Genggam Mercu JV telah diarahkan oleh kerajaan Negeri Terengganu untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisa keruntuhan bumbung di Stadium itu kerana projek itu masih dalam tempoh warranti semasa kejadian runtuhan berlaku. Walaubagaimanapun, kontraktor konsortium itu enggan melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa runtuhan dan pembaikan walaupun  beberapa surat peringatan telah dikeluarkan kepada pihak Kontraktor. Oleh itu, kerajaan terpaksa menawarkan tender baru pada 22 Mac 2010 untuk membersihkan sisa runtuhan Stadium yang menganjurkan SUKMA 2009 tersebut. Tender tersebut telah ditutup pada 19 April 2010.

Menurut Menteri berkenaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) telah menggantung lesen pendaftaran kontraktor utama projek tersebut dan mengenakan tindakan senarai hitam kepada Ahli Ahli Lembaga Pengarah dan pengarah sahamnya dari mengambil bahagian dalam mana-mana tender kerajaan mulai 4 September 2009.

Nga Kor Ming berkata, berbanding dengan Singapura, tindakan kerajaan jelas gagal mencegah kejadian sedemikian dari berlaku pada masa depan kerana pihak yang mengakibatkan keruntuhan stadium dan kerugian harta kerajaan tidak perlu menghadapi tindakan Mahkamah.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah mengambil iktihbar dari siri kejadian projek-projek kerajaan yang menjejaskan imej Negara.

“ Di depan mata kita, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang bumbungnya bocor, bangunan parlimen yang menghadapi kebocoran sama, Hospital Pandan, Johor Bharu yang dijangkiti fungi, Masjid Besut Terengganu yang runtuh,  Bangunan Perbadanan Taman Negeri Perak yang runtuh hancur berkecai, Jejantas Kepong yang retak dan begitu banyak contoh kesemuanya mencerminkan tanda-tanda kejatuhan kerajaan Barisan Nasional”. Nga menegaskan.

Nga Kor Ming menyeru supaya semua projek pembinaan awam dipilih menerusi sistem tender terbuka yang telus demi membela kepentingan awam dan mengelakkan kos pembinaan projek-projek awam melambung tinggi sehingga menyebabkan Negara rugi RM28 billion saban tahun dan mengelakkan Negara terus dilanda ledakan hutang Negara yang menggunung sehingga RM378.3 billion setakat 31/3/2010.