PENGUMUMAN

Kami telah berpindah ke laman web yang baru (www.dapperak.org)
Harap maklum.

DAP Perak Aktiviti

Khamis, 25 Ogos 2011

YB V.Sivakumar : Pertandingan Thirumurai Anjuran Hindu Sangam Batu Gajah.




Pertandingan Thirumurai Anjuran Hindu Sangam Batu Gajah.

YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh telah menghadiri program pertandingan Tahunan Thirumurai  yang ke 34 di Dewan Kuil Sri Subramaniar, Batu Gajah pada 14 Ogos 2011 anjuran Malaysia Hindu Sangam Batu Gajah. Beliau telah dijemput sebagai tetamu khas bagi program tersebut. Program 2 hari iaitu 13 dan 14 Ogos 2011 telah berjalan dengan lancar dan penuh meriah. Ramai kanak-kanak di kawasan Batu Gajah dan sekitarnya telah mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan yang telah dianjurkan.  

Antara pertandingan yang dianjurkan ialah:
1)    
      1.Thirumurai (5 kategori lelaki dan perempuan)
2)     2.Mewarna (coloring contest)
3)     3.Melukis Kolam
4)     4.Pidato

YB V.Sivakumar  telah memberi sumbangan hadiah-hadiah kepada semua pemenang dalam pertandingan yang telah dianjurkan. Ini merupakan tahun kedua  beliau  memberi sumbangan ini untuk membantu  dan meringankan pihak penganjur . Lebih kurang 100 orang kanak-kanak mengambil bahagian dalam program anjuran Malaysia Hindu Sangam Batu Gajah.
Dalam ucapan YB V.Sivakumar, beliau mengucapkan taniah dan syabas kepada Malaysia Hindu Sangam Batu Gajah kerana berjaya membuat program berfaedah ini selama 34 tahun. Beliau juga member tahu ibubapa yang hadir supaya terus menghantar anak-anak mereka ke kelas Thevaram untuk menimba ilmu keagamaan.  Jangan jadikan sekolah dan tuisyen sebagai alasan untuk tidak menghantar anak-anak untuk menghadiri kelas Thevaram. Pendidikan agama adalah penting untuk melahirkan insan yang baik untuk keluarga, masyarakat dan negara. Gunakan peluang kelas Thevaram di Batu Gajah untuk kebaikan semua. Beliau juga mencadangkan kepada semua ibu bapa Hindu yang berada di Batu Gajah dan sekitar untuk hantar anak-anak mereka untuk kelas Thevaram. YB V.Sivakumar juga menjanjikan bahawa beliau akan membantu Malaysia Hindu Sangam Batu Gajah dengan sebaik yang mungkin dalam program-program anjurannya.

P.s untuk maklumat lanjut sila hubungi penganjur En Rajasegaran  0175083435.


YB V.Sivakumar
ADUN Tronoh

Khamis, 18 Ogos 2011

YB V.Sivakumar: Politik Melampaui Perundangan di Malaysia.





Politik Melampaui Perundangan di Malaysia

Persoalannya adakah cabang legislatif dihormati lagi oleh pemain-pemain politik negara kita? Kita mahu semua pihak menghormati dan mengamalkan tertib yang telah digariskan dalam Perlembagaan dan Undang-undang. Tetapi, jika pihak-pihak tertentu cuba mengatasi batasan undang-undang ini, maka tatacara pentadbiran negara kita akan tergugat. Apabila ada pihak yang melihatkan diri mereka lebih tinggi daripada undang-undang dan tidak mengikuti prinsip-prinsip yang telah ditetapkan sekian lama, ini akan menzahirkan permainan kotor yang tidak adil dalam gelanggang politik negara kita.

Organisasi bukan rasmi seperti parti politik cuba membataskan aktiviti dan peranan organisasi rasmi seperti badan legislatif. Kacau ganggu seperti ini akan melumpuhkan pentadbiran negara malah kepercayaan rakyat terhadap kerajaan juga akan turut meluncur.

Walaupun organisasi tidak rasmi seperti parti politik tidak disebut dalam perlembagaan, peranannya sebagai penggerak utama kepada jentera rasmi negara kita tidak dapat dinafikan. Walau bagaimana pun permainan politik yang melampau atau keterlaluan boleh menggugat kedudukan organisasi-organisasi rasmi seperti badan perundangan.

Dalam kes Negeri Perak memang permainan politik telah melampaui kuasa badan perundangan . Dewan Negeri tidak dihormati oleh ahli-ahli politik apabila mereka merampas kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah. Mereka membuat pelbagai helah dan tipu muslihat untuk melanggar semua undang-undang dan perintah-perintah tetap Dewan Negeri semata-mata untuk kembali berkuasa di negeri Perak.

Kuasa Speaker Dewan Negeri dicabar malah tidak dihormati langsung. Polis berani melangkah masuk ke dalam Dewan yang mulia untuk mengusung keluar Speaker dengan menggunakan kekerasan. Dewan Negeri tidak diberi ruang untuk berfungsi menjalankan tanggungjawab perlembagaan . Ini dapat dilihat dalam sekatan yang dibuat oleh ahli-ahli politik supaya tidak membenarkan Dewan Negeri bersidang pada 3 Mac 2009. Polis dan jentera kerajaan menghalang wakil rakyat memasuki Dewan Negeri dan akhirnya terpaksa bersidang di bawah pokok.

Tambahan pula mekanisme untuk membuat undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Dato Seri Nizar juga tidak dilakukan sehingga hari ini. Datuk Harun seorang Menteri Besar yang disukai ramai pada masa itu yang menguasai Dewan Negeri Selangor dipaksa meletakkan jawatannya melalui undi tidak percaya yang diluluskan dengan suara terbanyak pada 25 Mac 1976. Beliau dijatuhkan oleh ahli-ahli partinya sendiri. Kejatuhan beliau berpunca daripada tindakan pemimpin kebangsaan parti yang mempengaruhi undi ahli-ahli Dewan Negeri Selangor. Ini adalah kerana Datuk Harun enggan meletakkan jawatan selepas beliau dipecat daripada parti. Walau bagaimanapun pemimpin UMNO pada masa itu tidak memilih jalan pintas untuk melantik Menteri Besar baru dengan bantuan Istana. Proses pengundian dibuat secara demokratik untuk menjatuhkan Datuk Harun di dalam Dewan Negeri itu sendiri. Tindakan ini adalah satu amalan demokrasi yang diguna pakai oleh semua negara-negara Komanwel.

Amalan demokrasi ini tidak dilaksanakan di Negeri Perak apabila Barisan Nasional merampas kerajaan daripada Pakatan Rakyat. Undi tidak percaya tidak pernah dibuat untuk menjatuhkan Datuk seri Nizar malah seorang Menteri Besar yang baru dilantik di Istana secara tergesa-gesa. Permainan politik kotor seperti ini telah mengganggu perjalanan Dewan Negeri di Perak. Akhirnya rakyat Negeri Perak terjerumus ke dalam kemelut politik yang masih tidak terselesai sehingga ke hari ini. Ekoran daripada itu, Dewan Negeri tidak dapat berfungsi dengan cekap dan berkesan. Pelbagai halangan dan batasan terpaksa diatur oleh Barisan Nasional untuk menyelamatkan kerajaan yang ditubuhkan secara haram. Belanjawan 2009 diluluskan dalam masa 20 minit. Persidangan Dewan Negeri pada 15 Ogos 2011 hanya berlangsung selama lebih kurang 2 jam. Ini adalah kerana kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat dirampas dengan menggunakan kekerasan polis dan mahkamah. Ketakutan itu menghantui pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional di Negeri Perak. Walau bagaimanapun, terbukti di sini bahawa politik yang melampau ini akan mencemarkan dan akhirnya menghancurkan sistem pentadbiran negara kita yang sedia ada.

V.Sivakumar
ADUN Tronoh

17/8/2011

Rabu, 17 Ogos 2011

YB V.Sivakumar: BN Tolak Soalan DUN Yang Berkepentingan Rakyat





Kenyataan Media YB V.Sivakumar , ADUN Tronoh pada 17 Ogos 2011 di Batu Gajah.


BN Tolak Soalan DUN Yang Berkepentingan Rakyat.

Sungguh sedih apabila kerajaan BN yang mebonekakan Dato Ganesan menolak soalan-soalan yang relevan dan berkepentingan rakyat yang dikemukakan oleh ADUN-ADUN Pakatan Rakyat.  Setiap ADUN dikehendaki untuk menyerahkan 3 soalan lisan dan 5 soalan bertulis untuk setiap kali persidangan Dewan Negeri Perak. Begitu juga kali ini kami wakil rakyat telah menyerahkan soalan-soalan kami  di Pejabat Setiasusaha Dewan Negeri seperti  mana yang dikehendaki. Tetapi, banyak diantara soalan-soalan kami telah ditolak tanpa alasan yang munasabah.
Perintah-perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan  yang ke 22(4) menetapkan bahawa:
Seseorang ahli tidak boleh bertanya lebih daripada tiga soalan bagi jawapan lisan dan tidak lebih daripada lima soalan bagi jawapan bertulis dalam mana-mana mesyuarat Dewan; dan tiap-tiap soalan itu tidak boleh mengandungi lebih daripada tiga soalan pecahan.
Inilah kali pertama dalam Sejarah Dewan Negeri Perak begitu banyak soalan-soalan lisan dan bertulis yang dikemukakan oleh wakil rakyat telah ditolak oleh Dato Ganesan dengan alasan-alasan yang tidak sahih dan tidak masuk akal. Beliau terbukti dipergunakan oleh Barisan Nasional untuk melarikan diri daripada tanggunjawab perlembagaan. Dato Ganesan seharusnya berasa malu kerana sanggup diperalatkan dan menjadi ‘anak patung’ Barisan Nasional. Beliau terpaksa melakukan semua ini kerana beliau adalah Speker yang masuk melalui ‘pintu belakang’ dan  harus tunduk kepada semua desakan dan tuntutan pemimpin UMNO.
Sekali lagi Dato Ganesan secara terbuka dapat dilihat sebagai seorang yang tidak berkaliber malah sanggup  menjual maruah jawatan Speaker  semata-mata untuk membantu kawan-kawannya yang tidak berani menjawap soalan-soalan daripada wakil-wakil  Pakatan Rakyat.  Walau bagaimanapun Dato Ganesan dan golongan pengecut ini harus sedar bahawa rakyat sedang memerhatikan segala tindak-tanduk dan gelagat mereka. Bila soalan daripada wakil rakyat ditolak, ini bermaksud soalan rakyat telah ditolak secara sewenang-wenangnya oleh kerajaan yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai satu contoh, soalan bertulis ke 5 yang saya kemukakan adalah seperti berikut :
Penasihat Kepada Menteri Besar Perak Dato Veerasingam pernah menyatakan dalam media bahawa beliau telah diberi peruntukan RM1 juta untuk masyarakat India oleh Kerajaan Negeri.
Adakah kenyataan ini benar?
Jika benar, senaraikan semua projek-projek atau pemberian sumbangan yang dibuat oleh beliau untuk mengakaunkan RM1 juta tersebut.
Adakah jumlah yang sama atau lebih besar telah diberikan kepada Dato Chang Ko Youn?
Soalan ini adalah soalan berkepentingan rakyat yang melibatkan wang sejumlah RM1 juta. Oleh yang demikian rakyat mempunyai hak untuk mengetahui  kebenaran kenyataan yang dibuat oleh  beliau melalui media massa baru-baru ini. Tambahan  pula, ada isu-isu yang kontroversial yang bersangkut-paut berhubung dengan  perkara yang dibangkitkan.
Kenapakah soalan ini  perlu ditolak oleh Kerajaan? Ini menimbulkan lebih banyak persoalan berhubung dengan peruntukan  RM1 juta itu. Rakyat berhak mengetahui adakah wang itu telah dibelanjakan dengan waras untuk tujuan-tujuan yang memberi manfaat kepada mereka. Tetapi, sikap kerajaan melarikan diri daripada menjawab soalan ini adalah seperti ‘ada udang disebalik batu’.
Oleh yang demikian saya mendesak kerajaan memberi jawapan kepada soalan ini secara bertulis secepat yang mungkin. Ini adalah penting untuk memastikan Dewan Negeri masih lagi berfungsi sebagai satu pentas untuk ‘semak dan imbang’ dalam sistem pentadbiran kita.  Kita tidak boleh seleweng daripada prinsip bahawa badan eksekutif iaitu kerajaan  harus bertanggungjawab kepada Dewan Negeri  dan tidak boleh hidup tanpa sokongannya.  Jika soalan-soalan pembangkang disekat  seperti ini, maka secara berdikit-dikit rakyat akan kehilangan kepercayaan kepada demokrasi berparlimen.
Kerajaan  seharusnya menggunakan Dewan Negeri sebagai medan untuk memberi pandangan  yang membina  dan  menerima kritikan yang bernas asalkan ia tidak membangkitkan perasaan perkauman yang terlampau.

Selasa, 16 Ogos 2011

YB V.Sivakumar:Sidang DUN Perak Paling Singkat Dalam Sejarah





Kenyataan Media YB V.Sivakumar pada 16/7/2011 di Batu Gajah Sidang DUN Perak Paling Singkat Dalam Sejarah Kerajaan Barisan Nasional telah mempersendakan sidang DUN kali ini yang diadakan pada 15/8/2011. Sungguh ganjil bahawa sidang DUN itu diadakan hanya untuk 2 jam setengah sahaja. Pada hemat saya Barisan Nasional telah mencipta sejarah mengadakan sidang DUN yang paling singkat dalam sejarah. Dato Ganesan seharusnya berasa malu kerana mengikut telunjuk pemimpin-pemimpin Barisan Nasional untuk mengadakan sidang DUN yang singkat ini. Beliau seharusnya memberitahu kerajaan supaya tidak mempermainkan atau mengadakan sidang DUN olok-olok. Tindakan Dato Ganesan dan Kerajaan Barisan Nasional adalah satu penghinaan kepada Dewan Negeri yang mulia. Dalam ucapan Yang Dipertua, Dato Ganesan menyebut bahawa sidang DUN kali ini diadakan semata- mata untuk memenuhi syarat tempoh 6 bulan di antara mesyuarat-mesyuarat Dewan. Beliau seharusnya berasa malu untuk menbuat kenyataan seperti itu seolah-olah kerajaan Barisan Nasional tidak berminat untuk membincangkan masalah rakyat. Memang benar terdapat syarat 6 bulan seperti yang dinyatakan oleh beliau. Mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, perkara XXXVI memperuntukkan bahawa ‘ Yang Maha Mulia hendaklah dari semasa ke semasa memangil bersidang Dewan Perhimpunan Undangan itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas satu dalam persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang dihadapan’ Apakah niat undang-undang itu yang mensyaratkan tempoh 6 bulan itu? Adalah jahil untuk berkata ‘kita bersidang untuk memenuhi syarat’ . Undang-undang Tubuh Negeri Perak mahu memastikan bahawa sekurang-kurangnya Dewan Negeri bersidang dalam 6 bulan supaya masalah rakyat boleh dibincangkan secara panjang lebar. Tetapi, Menteri Besar dan pimpinan Barisan Nasional telah memanupulasikan undang-undang itu hanya sekadar memenuhi syarat yang diperakui oleh Dato Ganesan sendiri dalam ucapannya. Adakah Kerajaan Barisan Nasional mengatakan bahawa di Negeri Perak tidak ada masalah langsung untuk diketengahkan dalam Dewan Negeri Perak yang mulia? Terdapat banyak masalah yang tidak diselesaikan dan memerlukan perhatian kerajaan dengan segera. Tindakan mereka jelas bahawa mereka ini adalah satu golongan pengecut yang tidak berani menghadapi wakil-wakil dari Pakatan Rakyat yang hendak membawa masalah rakyat ke forum tertinggi ini. Meraka mencari helah untuk melarikan diri daripada tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat negeri Perak. Apa guna kita ada pilihanraya dan wakil rakyat jika persidangan Dewan Negeri hanya diadakan untuk setengah hari sahaja untuk membincangkan masalah rakyat. Sekali lagi kerajaan Barisan Nasional telah mencemarkan demokrasi di Negeri Perak. Terbukti bahawa Barisan Nasional merupakan satu kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan tidak ada sikap akauntabiliti kepada pengundi dan rakyat negeri ini.




YB V.Sivakumar
ADUN Tronoh

Laporan Polis Dibuat Oleh YB Dato' Seri Ir Hj Md Nizar bin Jamaluddin Mewakili Semua ADUN PR Perak Terhadap Timb. Ketua Polis Perak.



KENYATAAN RASMI

LAPORAN POLIS DIBUAT OLEH YB DATO’ SERI IR HJ MOHAMMAD NIZAR BIN JAMALUDDIN ADUN PASIR PANJANG MEWAKILI SEMUA ADUN PAKATAN RAKYAT PERAK TERHADAP TIMBALAN KETUA POLIS PERAK, DATUK ZAKARIA YUSOF.


Adalah dengan ini satu laporan polis dibuat di IPD Ipoh, Perak pada 16 Ogos 2011 (Selasa) terhadap Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof mengenai kenyataan beliau terhadap kami ADUN sebagaimana terpapar dimuka depan, didalam akhbar Sinar Harian bertarikh 15 Ogos 2011.

Dengan tajuk “JAGA ADAB” beliau menyatakan “saya harap ahli-ahli dewan menjaga tingkah laku ketika membentangkan suara rakyat. Sekiranya berlaku provokasi, kita akan atasi sebaik mungkin”.

Saya dengan ini bertegas menyatakan bahawa kenyataan ini melanggar serta bertentangan dengan Kanun Keseksaan (Akta 574) perkara 124. Kenyataan melampau dan keterlaluan ini juga membuat saya berasa terguris, marah, terhina, takut, cemas, bimbang, malu, dan dukacita. Sekaligus beliau mengenepikan Undang-undang tubuh Kerajaan Perak(Perlembagaan Perak), Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Tetap DUN yang mana saya dan semua ADUN telah mengangkat sumpah memelihara dan mendukungnya. Sebagai wakil rakyat dan ahli dewan, saya juga tertakluk kepada semua perkara yang terkandung didalam Peraturan Tetap dewan bagi mentadbir perjalanan mesyuarat termasuk adab, tatasusila, peraturan persidangan dewan serta tingkah laku kami. Dewan mempunyai Tuan Speaker dan pengawalnya tersendiri. Doktrin pengasingan kuasa dan system demokrasi berparlimen menjadi ikutan saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Kenyataan Datuk Zakaria didalam laporan akhbar tersebut juga mengesahkan bahawa sejak rampasan kuasa oleh UMNO BN pada bulan Februari 2009, kesemua persidangan DUN Perak telah dicerobohi oleh PDRM dengan kehadiran begitu ramai anggota serta kenderaan polis. Saya ingin mengingatkan bahawa PDRMlah yang telah masuk dan menceroboh DUN Perak pada 7 Mei 2009, sedang Speaker YB Sivakumar mengendalikan persidangan dan YB Sivakumar telah diheret dan diangkat serta digulingkan oleh anggota polis dan beliau telah dikunci selama satu jam dibilik belakang dewan. Sementara kami ADUN Pakatan Rakyat dibelasah dan dikasari oleh polis didalam dewan dan ditonton oleh media, rakyat, Orang-orang Besar Negeri, Pengarah-pengarah kerajaan Negeri dan Persekutuan. Siapa yang sebenarnya biadap bila Datuk Zakaria menyuruh kami “Jaga Adap”?

Kenyataan ini juga menimbulkan keluh-kesah dan berupa ugutan serta pencerobohan terhadap bidang kuasa kami sebagai wakil rakyat. Sedarlah bahawa tahap kejadian mungkar, jenayah, rasuah, pembunuhan, kemalangan, salah guna kuasa, pecah amanah di Perak yang menjadi-jadi kini, memerlukan PDRM melaksanakan tugas mereka bagi menjaga keselamatan rakyat dan negeri. Jangan sibuk menjaga persidangan DUN Perak dan berlagak seperti Perdana Menteri. Sebagai eksekutif, PDRM ada tugasan mereka yang mesti dilaksanakan. Laporan polis yang dibuat oleh rakyat masih bertimbun yang belum disiasat!

Kenyataan Datuk Zakaria yang tidak bertanggungjawab, niat buruk, berbau ugutan serta mencerminkan sikap diperalatkan oleh UMNO BN amat menyedihkan kami. Lihat saja kekejaman yang dibuat Polis terhadap rakyat semasa himpunan aman Bersih 2.0 di KL pada 9 Julai 2011! Bilik hotel saya diceroboh oleh polis dari IPD KL pada jam 12.45 tengah malam pada 9 Julai 2011!

Persidangan yang sepatutnya berjalan selama 2 hari telah ditamatkan oleh Speaker haram pada jam 1 tengah hari pada 15 Ogos 2011. Banyak soalan lisan dan bertulis kami tidak dijawab. Pembesar suara/microphone kami selalunya ditutup. Peraturan Tetap tidak dipatuhi oleh Speaker haram! Bagaimana kami boleh “menimbulkan banyak perkara” dalam persidangan yang tak sampai 3 jam? Speaker haram telah tidak upaya mengendalikan dewan serta hilang kawalan dan akhirnya DUN Perak gagal sebagai badan Legislatif yang dimuliakan!

Maka dengan ini saya gesa Datuk Zakaria menarik balik kenyataanya terhadap kami wakil rakyat dan memohon maaf kepada rakyat dan kami wakil rakyat dalam tempoh bulan Ramadzan ini dan berhenti menjadi pekakas dan alat UMNO BN. Jangan cemarkan nama baik PDRM dan pulihkan nama baik PDRM dikacamata rakyat!


YB Dato’ Seri Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin
ADUN Pasir Panjang
16 Ogos 2011



Khamis, 4 Ogos 2011

V. Sivakumar: Air Bertakung Tiada Tindakan MDBG


Kenyataan Media YB V.Sivakumar di Pekan Batu Gajah pada 3/8/2011

Air Bertakung Tiada Tindakan

Masalah air bertakung di hadapan kedai-kedai Jalan Pandak Akhat, Pekan Batu Gajah.

Banyak aduan di terima daripada pekedai-pekedai dan orang ramai. Saya telah membuat aduan bertulis kepada pihak Majlis Daerah Batu Gajah pada 6 Mei 2011. Pihak Majlis Daerah Batu Gajah telah membalas surat saya pada 3 Jun 2011 bahawa perkara ini sedang dalam perhatian Jabatan Kejuruteraan. Setakat ini tidak ada apa tndakan diambil oleh pihak Majlis untuk menyelesaikan masalah ini. Saya rasa kecewa dengan pihak Majlis Daerah Batu Gajah kerana tidak mahu menyelesaikan masalah yang kecil walaupun ibangkitkan beberapa kali.

Pada pandangan saya EXCO Kerajaan Tempatan Negeri Perak Dato Mah Han Soon tidak dapat mengawal semua majliis-majlis daerah di bawah perhatian belian. Beliau telah gagal menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat yang membayar cukai pintu. Masalah yang dibangkitkan ini boleh diselesaikan dalam tempoh 1 minggu. Tetapi pihak Majlis mengambil masa berbulan-bulan untuk menyelesaikan masalah yang kecil seperti ini. Ini membuktikan kerajaan BN gagal dalam mencapai matlamat 'rakyat didahulukan' 

V.Sivakumar

Rabu, 3 Ogos 2011

V.Sivakumar: Mendapat MyCard Selepas 18 Tahun

Kenyataan Media YB V.Sivakumar pada 1/8/2011 di Batu Gajah

Mendapat Kad Pengenalan Selepas 18 Tahun


Puan Komala a/p Palinisamy yang berumur 30 tahun telah berjaya memperolehi kad pengenalan MyCard selepas menanti 18 tahun. Beliau tidak memohon untuk kad pengenalan pada umur 12 tahun kerana perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan. Beliau terpaksa melalui banyak halangan dan kesusahan selama 18 tahun kerana tidak memiliki kad pengenalan.

Beliau telah berkahwin pada tahun 1997 iaitu 13 tahun yang lalu secara upacara adat di sebuah kuil. Oleh kerana beliau tidak memilki kad pengenalan perkahwinan beliau tidak dapat didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Negara. Hasil perkahwinan ini, pasangan suami isteri tersebut telah dikurniakan 4 orang anak. Dalam surat lahir anak-anak itu tidak terkandung nombor kad pengenalan ibu. Ini menimbulkan banyak masalah terutama apabila membuat pendaftaran sekolah.

Puan Komala juga memdapati sukar untuk mencari kerja kerana masalah kad pengenalan. Oleh yang demikian beliau terpaksa menjadi seorang suri rumah tangga.  Ini menjadi satu halangan untuk meningkatkan status  sosio-ekonomi  keluarga mereka.

Pasangan suami isteri ini telah datang berjumpa YB V.Sivakumar beberapa bulan yang lepas. Beliau telah membawa mereka sendiri ke JPN untuk membuat permohonan kad pengenalan dan membantu mereka dalam permohonan tersebut.

Kini puan Komala dan keluarga dapat melihat cahaya kerana berjaya memperolehi kad pengenalan MyCard.
Seterusnya Pusat Khidmat DUN Tronoh akan membantu menguruskan pendaftaran perkahwinan pasangan itu dan mengemaskinikan surat lahir keempat-empat orang anak mereka.