PENGUMUMAN

Kami telah berpindah ke laman web yang baru (www.dapperak.org)
Harap maklum.

DAP Perak Aktiviti

Selasa, 16 Ogos 2011

YB V.Sivakumar:Sidang DUN Perak Paling Singkat Dalam Sejarah





Kenyataan Media YB V.Sivakumar pada 16/7/2011 di Batu Gajah Sidang DUN Perak Paling Singkat Dalam Sejarah Kerajaan Barisan Nasional telah mempersendakan sidang DUN kali ini yang diadakan pada 15/8/2011. Sungguh ganjil bahawa sidang DUN itu diadakan hanya untuk 2 jam setengah sahaja. Pada hemat saya Barisan Nasional telah mencipta sejarah mengadakan sidang DUN yang paling singkat dalam sejarah. Dato Ganesan seharusnya berasa malu kerana mengikut telunjuk pemimpin-pemimpin Barisan Nasional untuk mengadakan sidang DUN yang singkat ini. Beliau seharusnya memberitahu kerajaan supaya tidak mempermainkan atau mengadakan sidang DUN olok-olok. Tindakan Dato Ganesan dan Kerajaan Barisan Nasional adalah satu penghinaan kepada Dewan Negeri yang mulia. Dalam ucapan Yang Dipertua, Dato Ganesan menyebut bahawa sidang DUN kali ini diadakan semata- mata untuk memenuhi syarat tempoh 6 bulan di antara mesyuarat-mesyuarat Dewan. Beliau seharusnya berasa malu untuk menbuat kenyataan seperti itu seolah-olah kerajaan Barisan Nasional tidak berminat untuk membincangkan masalah rakyat. Memang benar terdapat syarat 6 bulan seperti yang dinyatakan oleh beliau. Mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, perkara XXXVI memperuntukkan bahawa ‘ Yang Maha Mulia hendaklah dari semasa ke semasa memangil bersidang Dewan Perhimpunan Undangan itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas satu dalam persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang dihadapan’ Apakah niat undang-undang itu yang mensyaratkan tempoh 6 bulan itu? Adalah jahil untuk berkata ‘kita bersidang untuk memenuhi syarat’ . Undang-undang Tubuh Negeri Perak mahu memastikan bahawa sekurang-kurangnya Dewan Negeri bersidang dalam 6 bulan supaya masalah rakyat boleh dibincangkan secara panjang lebar. Tetapi, Menteri Besar dan pimpinan Barisan Nasional telah memanupulasikan undang-undang itu hanya sekadar memenuhi syarat yang diperakui oleh Dato Ganesan sendiri dalam ucapannya. Adakah Kerajaan Barisan Nasional mengatakan bahawa di Negeri Perak tidak ada masalah langsung untuk diketengahkan dalam Dewan Negeri Perak yang mulia? Terdapat banyak masalah yang tidak diselesaikan dan memerlukan perhatian kerajaan dengan segera. Tindakan mereka jelas bahawa mereka ini adalah satu golongan pengecut yang tidak berani menghadapi wakil-wakil dari Pakatan Rakyat yang hendak membawa masalah rakyat ke forum tertinggi ini. Meraka mencari helah untuk melarikan diri daripada tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat negeri Perak. Apa guna kita ada pilihanraya dan wakil rakyat jika persidangan Dewan Negeri hanya diadakan untuk setengah hari sahaja untuk membincangkan masalah rakyat. Sekali lagi kerajaan Barisan Nasional telah mencemarkan demokrasi di Negeri Perak. Terbukti bahawa Barisan Nasional merupakan satu kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan tidak ada sikap akauntabiliti kepada pengundi dan rakyat negeri ini.




YB V.Sivakumar
ADUN Tronoh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan