Khamis, 18 Ogos 2011
YB V.Sivakumar: Politik Melampaui Perundangan di Malaysia.
Politik Melampaui Perundangan di Malaysia
Persoalannya adakah cabang legislatif dihormati lagi oleh pemain-pemain politik negara kita? Kita mahu semua pihak menghormati dan mengamalkan tertib yang telah digariskan dalam Perlembagaan dan Undang-undang. Tetapi, jika pihak-pihak tertentu cuba mengatasi batasan undang-undang ini, maka tatacara pentadbiran negara kita akan tergugat. Apabila ada pihak yang melihatkan diri mereka lebih tinggi daripada undang-undang dan tidak mengikuti prinsip-prinsip yang telah ditetapkan sekian lama, ini akan menzahirkan permainan kotor yang tidak adil dalam gelanggang politik negara kita.
Organisasi bukan rasmi seperti parti politik cuba membataskan aktiviti dan peranan organisasi rasmi seperti badan legislatif. Kacau ganggu seperti ini akan melumpuhkan pentadbiran negara malah kepercayaan rakyat terhadap kerajaan juga akan turut meluncur.
Walaupun organisasi tidak rasmi seperti parti politik tidak disebut dalam perlembagaan, peranannya sebagai penggerak utama kepada jentera rasmi negara kita tidak dapat dinafikan. Walau bagaimana pun permainan politik yang melampau atau keterlaluan boleh menggugat kedudukan organisasi-organisasi rasmi seperti badan perundangan.
Dalam kes Negeri Perak memang permainan politik telah melampaui kuasa badan perundangan . Dewan Negeri tidak dihormati oleh ahli-ahli politik apabila mereka merampas kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah. Mereka membuat pelbagai helah dan tipu muslihat untuk melanggar semua undang-undang dan perintah-perintah tetap Dewan Negeri semata-mata untuk kembali berkuasa di negeri Perak.
Kuasa Speaker Dewan Negeri dicabar malah tidak dihormati langsung. Polis berani melangkah masuk ke dalam Dewan yang mulia untuk mengusung keluar Speaker dengan menggunakan kekerasan. Dewan Negeri tidak diberi ruang untuk berfungsi menjalankan tanggungjawab perlembagaan . Ini dapat dilihat dalam sekatan yang dibuat oleh ahli-ahli politik supaya tidak membenarkan Dewan Negeri bersidang pada 3 Mac 2009. Polis dan jentera kerajaan menghalang wakil rakyat memasuki Dewan Negeri dan akhirnya terpaksa bersidang di bawah pokok.
Tambahan pula mekanisme untuk membuat undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Dato Seri Nizar juga tidak dilakukan sehingga hari ini. Datuk Harun seorang Menteri Besar yang disukai ramai pada masa itu yang menguasai Dewan Negeri Selangor dipaksa meletakkan jawatannya melalui undi tidak percaya yang diluluskan dengan suara terbanyak pada 25 Mac 1976. Beliau dijatuhkan oleh ahli-ahli partinya sendiri. Kejatuhan beliau berpunca daripada tindakan pemimpin kebangsaan parti yang mempengaruhi undi ahli-ahli Dewan Negeri Selangor. Ini adalah kerana Datuk Harun enggan meletakkan jawatan selepas beliau dipecat daripada parti. Walau bagaimanapun pemimpin UMNO pada masa itu tidak memilih jalan pintas untuk melantik Menteri Besar baru dengan bantuan Istana. Proses pengundian dibuat secara demokratik untuk menjatuhkan Datuk Harun di dalam Dewan Negeri itu sendiri. Tindakan ini adalah satu amalan demokrasi yang diguna pakai oleh semua negara-negara Komanwel.
Amalan demokrasi ini tidak dilaksanakan di Negeri Perak apabila Barisan Nasional merampas kerajaan daripada Pakatan Rakyat. Undi tidak percaya tidak pernah dibuat untuk menjatuhkan Datuk seri Nizar malah seorang Menteri Besar yang baru dilantik di Istana secara tergesa-gesa. Permainan politik kotor seperti ini telah mengganggu perjalanan Dewan Negeri di Perak. Akhirnya rakyat Negeri Perak terjerumus ke dalam kemelut politik yang masih tidak terselesai sehingga ke hari ini. Ekoran daripada itu, Dewan Negeri tidak dapat berfungsi dengan cekap dan berkesan. Pelbagai halangan dan batasan terpaksa diatur oleh Barisan Nasional untuk menyelamatkan kerajaan yang ditubuhkan secara haram. Belanjawan 2009 diluluskan dalam masa 20 minit. Persidangan Dewan Negeri pada 15 Ogos 2011 hanya berlangsung selama lebih kurang 2 jam. Ini adalah kerana kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat dirampas dengan menggunakan kekerasan polis dan mahkamah. Ketakutan itu menghantui pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional di Negeri Perak. Walau bagaimanapun, terbukti di sini bahawa politik yang melampau ini akan mencemarkan dan akhirnya menghancurkan sistem pentadbiran negara kita yang sedia ada.
V.Sivakumar
ADUN Tronoh
17/8/2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan