PENGUMUMAN

Kami telah berpindah ke laman web yang baru (www.dapperak.org)
Harap maklum.

DAP Perak Aktiviti

Rabu, 23 November 2011

Ucapan YB Wong Kah Woh, ADUN Kawasan Canning dalam membahas Bajet 2012 Negeri Perak

WKW Profile 1 Ucapan YB Wong Kah Woh, ADUN Kawasan Canning merangkap Ketua Pemuda Sosialis DAP Perak, dalam membahas Bajet 2012 Negeri Perak pada 23.11.2011 (Rabu) di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Dengan izin Dewan yang mulia ini,

Terima kasih kerana mengizinkan saya untuk mengambil bahagian untuk membahaskan suatu bajet yang amat bersejarah ini, Bajet Negeri Perak dengan suatu catatan deficit bajet sebanyak RM50.14 juta, suatu angka yang terbesar dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Peningkatan Kecekapan system penyampaian

… bermula dari Dewan Negeri Perak

Kerajaan Negeri dalam pembentangan bajet negeri Perak 2012 telah menyentuh berkenaan dengan peningkatan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan. Ini bukan kali pertama kita dengar dalam Dewan yang mulia ini berkenaan dengan keperluan peningkatan sistem penyampaian, yang mana isu ini telah dibangkitkan dalam Titah Perasmian Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan pada bulan April 2011 yang lepas.

Peningkatan kecekapan system penyampaian haruslah bermula dari Dewan yang mulia ini. Kita semua di sini mahu membangkitkan masalah Rakyat. Tetapi saya ingin menarik perhatian Dewan ini apa yang berlaku ke atas soalan-soalan yang dibangkitkan:-

(i) soalan bertulis pada 03.08.2010

Soalan 1: Saya pernah membangkitkan soalan bertulis berkenaan dengan mana perginya peruntukkan tahunan untuk kesemua kawasan yang dipegang oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat. Jawapan diberikan untuk soalan ini adalah “tiada peruntukkan kepada wakil rakyat PR”, tetapi soalan sebenar adalah tidak terjawab, iaitu “dimanakah wang peruntukkan digunakan? Untuk projek apa? Dan diselaras oleh siapa?”

(ii) soalan bertulis pada 03.12.2010

Saya telah membangkitkan isu berkenaan dengan jumlah perbelanjaan rombongan / lawatan luar Negara oleh YAB MB dan Barisan EXCO sejak tahun 2009, yang mana jawapan yang diberikan pada ketika itu ialah “Jawapan akan dibekalkan kemudian”. Memandangkan tidak ada jawapan dibekalkan, saya telah bangkitkan soalan ini dalam persidangan bulan April 2011 yang lalu, dan soalan tersebut telahpun ditolak atas alas an “jawapan telah diberikan sebelum ini”.

Pada hakikatnya, bukanlah saya seorang yang menanyakan isu ini sahaja, soalan yang sama telah dan pernah dibangkitkan oleh YB Pantai Remis banyak kali, tetapi tidak ada jawapan yang dibekalkan. Saya tidak faham kenapa ia terjadi sedemikian, tetapi satu-satu prasangka yang boleh timbul adalah ia merupakan satu percubaan untuk menutup perbelanjaan sebenar yang terlibat.

Berkenaan dengan pengurusan Dewan yang mulia ini juga, saya ingin merakamkan syabas kepada Dato Tuan Yang Dipertua yang berani memperbetulkan kesilapan lampaunya setelah banyak kali dibangkitkan dan mengarahkan supaya tag-tag nama tidak perlu ditunjukkan kepada pengawal-pengawal berkenaan sebelum masuk Dewan. Ini adalah penting untuk mengukuhkan integrity dan kebebasan Dewan. Dato Yang Dipertua juga telah tidak mengulangi kesilapannya pada tahun 2009, yang mana bajet 2010 diluluskan dalam masa kurang daripada 30 minit.

Namun, terdapat banyak perkara lagi yang perlu diperbetulkan, saya mengesyorkan supaya dato Yang Dipertua dapat mengambil keputusan tegas, supaya dalam masa 2 hari lagi yang tertinggal dalam mesyuarat ini, memulihkan integrity Dewan supaya tidak meninggalkan nama yang tidak baik dalam sejarah. Salah satunya adalah untuk membenarkan semula rakan-rakan media kita yang selalu memainkan peranan yang penting, untuk ditempatkan semula di bahagian belakang dewan ini supaya liputan secara keseluruhan dapat dibuat. Biarlah rakan-rakan media melaporkan apa yang sebenarnya berlaku, khasnya apabila mic-mic ahli dewan ditutup.

Bajet 2012…

Bajet 2012 ini melibatkan satu deficit sebanyak RM50.14 juta, melibatkan suatu belanjawan sebanyak RM915.26 juta.

Antaranya, perbelanjaan untuk maksud pembangunan sebanyak RM321 juta telah menyumbang kepada 35% jumlah belanjawan, berbanding dengan margin tahun lepas iaitu sebanyak RM862 juta atau 31%. Dengan PRU-13 akan datang pada bila-bila masa, sememangnya kesemua orang tahu apakah tujuan sebenar peningkatan perbelanjaan tersebut.

Pada hari semalam, YB dari Pengkalan Hulu telah bersetuju bahawa ia merupakan satu bajet pilihanraya, dan telah memuji bajet ini dengan sebaiknya. Biarlah kita realistik di sini, sama ada ia merupakan satu Bajet Pilihanraya, itu merupakan prerogative yang dikuasai oleh pihak pemerintah, tetapi bagi sebuah kerajaan yang benar-benar utamakan kepentingan Rakyat, maka perlulah Bajet yang dibentangkan setiap tahun mencapai matlamat kebajikan Rakyat dan bukannya untuk satu tahun sahaja atau peruntukkan sekadar pemberian secara one-off sahaja.

Saya tidak mahu speculate sama ada Kerajaan Negeri berupaya untuk memupuskan deficit bajet RM50,14juta yang dibentangkan ini dalam tahun 2012, tetapi beberapa item dalam bajet 2012 haruslah kita ambil berat.

Cukai Balak: Item yang pertama adalah berkenaan dengan Cukai Balak. Anggaran kutipan pada tahun 2012 adalah sebanyak RM26 juta, dan ini merupakan suatu pelipatan ganda angka pendapatan sebenar pada tahun 2010 iaitu sebanyak RM12 juta sahaja. Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri haruslah memperjelaskan bagaimanakah kita boleh menjangka suatu kutipan cukai balak yang berlipat ganda?

Samaada Kerajaan Negeri bercadang untuk menjalankan sistem tender terbuka seperti yang dicadangkan dalam Bajet 2009 yang dibentangkan oleh Kerajaan PR, yang sejurusnya meningkatan anggaran kutipan dari RM17 juta pada tahun 2008 ke RM40 juta pada tahun 2009 untuk menjanakan hasil yang lebih tinggi?

Sememangnya, kita tidak berharap dan tidak mahu nampak bahawa peningkatan dalam kutipan cukai balak adalah disumbangkan semata-mata daripada pemberian konseisi balak yang lebih banyak, kerana natural resources pada suatu hari nanti akan lupus, dan kita semua mempunyai tanggungjawab untuk melindungi natural resources yang penting ini.

Oleh itu, persoalannya, apakah pendekatan Kerajaan Negeri untuk menjana kutipan cukai balak yang lebih tinggi ini?

Cukai Tanah Tertunggak: Kerajaan Negeri telah menganggarkan bahawa kutipan cukai tanah tunggakan adalah sebanyak RM59 juta, suatu peningkatan berganda berbanding dengan pendapatan sebenar pada tahun 2010 sebanyak RM29.9 juta dan anggaran pada tahun 2011 dengan anggara RM35 juta. Dua persoalan akan timbulkan di sini:-

(i) Apakah yang menyumbangkan kepada cukai tunggakan yang sebesar RM59 juta ini? Apakah yang telah terjadi kepada efficiency dan mechanisma pengutipan cukai tanah, yang menjadikan cukai tanah tertunggak mencatatkan angka yang begitu tinggi?

(ii) Bagaimanakah Kerajaan boleh bergantung kepada mechanisma yang sama dalam pengutipan memandangkan ia jelasnya tidak cukup efficient untuk melaksanaan tugasnya? Harus diingatkan bahawa sekiranya sasaran kutipan semula sebanyak RM59 juta ini tidak dapat tercapai, maka deficit sebanyak RM50.14 juta tersebut turut akan bertambah, ini merupakan satu keadaan yang amat serius.

Surantan Hakmilik Kekal untuk Rancangan Perumahan Tersusun dan Kg Baru (Majlis Tanah Negara)

Kerajaan Negeri telah mengumumkan bahawa diskaun 80% diberikan kepada mereka yang memperbaharui tempoh pajakan untuk suratan hakmilik mereka. Saya mengalu-alukan pemberian diskaun ini, kerana pada asasnya suratan hakmilik yang dipegang memang merupakan hak milik pemilik-pemilik berkenaan.

Tetapi satu isu yang penting yang saya ingin bangkitkan di sini adalah, sekiranya Kerajaan Negeri adalah ikhlas dan benar-benar prihatin terhadap pemilikan tanah oleh mereka yang berpatutan, kenapakah sampailah hari ini Kerajaan Negeri enggan melaksanakan dan meneruskan polisi pemberian hakmilik kekal kepada Rancangan Perumahan Tersusun dan Kg Baru seperti yang dimulakan oleh Kerajaan Negeri PR terdahulu? YB EXCO dari Chenderiang pada dulunya apabila menjadi ahli pembangkang, pernah mencadangkan bahawa 90% diskaun diberikan kepada pemohon-pemohon suratan hakmilik kekal, apa yang telah terjadi selepas dilantik sebagai EXCO? Sama ada beliau tidak mampu untuk memujuk Kerajaan Negeri untuk meneruskan polisi ini? Lack of political will / ketandusan kemahuan politik!

Masalah Banjir

Bajet ini memperuntukkan pertambahan peruntukkan sebanyak RM18 juta untuk Jabatan Pengairan dan Saliran, dan jumlah sebanyak RM11.2 juta adalah untuk rancangan tebatan banjir dan saliran Bandar.

Saya ingin menarik perhatian bahawa isu banjit kilat merupakan satu masalah yang serius di kawasan Ipoh. Pada musim hujan, banjir kilat akan berlaku di kawasan-kawasan seperti Persiaran Cempaka Sari 13, 15, 17, 20 di Taman Cempaka, di Jalan 5 Kg Simee, Tadika Mariaville Jalan Tambun, Jalan SA Lingam Taman Ipoh Selatan dan air tertakung berdekatan dengan Taman Ipoh – Courts Mamooth dan kawasan sepanjang longkang yang bersambungan ke Sg Senam.

Saya berharap bahawa MBI dan JPS dapat kerja bersama-sama dalam isu penebatan banjir, dan memastikan sistem saliran adalah mencukupi untuk menampung keperluan dengan pembangunan skim-skim perumahan yang semakin pesat.

Lembaga Air Perak

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada lembaga Air Perak yang selalunya memberikan balasan dan tindakan awal ke atas aduan-aduan yang disalurkan. Untuk konteks ini, kita telah nampak peruntukkan diberikan kepada LAP dan saya berharap beberapa masalah rakyat dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Di kawasan Kg Simee dan Taman Cempaka yang mana piping LAP telahpun lama dan tersekat, menyebabkan bekalan air amatlah kecil. Saya telah dimaklumkan bahawa LAP tidak mempunyai peruntukkan yang mencukupi untuk selesaikan masalah khasnya apabila pihak berkuasa tempatan mengkehendaki LAP untuk menurap semula jalan-jalan yang telah dijalankan kerja-kerja penukaran pipe. Akibatnya, penduduk-penduduk terpaksa “bayar sendiri” untuk menyelesaikan masalah ini.

Saya mencadangkan bahawa LAP perlu merizabkan sebahagian peruntukkan untuk menyelesaikan masalah-masalah ini dan menggantikan pipe-pipe yang mana perlu.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyentuh berkenaan dengan perjanjian migrasi asset Lembaga Air Perak dengan Syarikat Pengurusan Aset Air Berhad yang bakal dimaterai. Saya ingin membangkitkan persoalan di sini bahawa dengan perjanjian tersebut, samaada Kerajaan Negeri akan kehilangan pendapatan dari LAP sebanyak RM70juta atau lebih setiap tahun, dan bagaimanakah Kerajaan Negeri dapat menjamin bahawa harga bekalan air tidak akan meningkat dan hak pengurusan bekalan air masih dipegang oleh Kerajaan Negeri? Kita tidak mahu lihat suatu keadaan bahawa Kerajaan Negeri kehilangan hak prerogrativenya semata-mata untuk mencapai pengurangan hampir RM900 juta hutang negeri.

Penurapan Jalan-Jalan yang lama

Terutama sekali pihak saya ingin ucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa tempatan MBI, yang menjawab kepada permintaan Rakyat dengan menurap semula kawasan-kawasan perumahan di kawasan Canning. Saya ingin bangkitkan di sini bahawa kawasan lain seperti Taman Ipoh (khasnya Jalan Carlos / Jalan Devadason), Kg Simee, dan juga Taman Cempaka yang mana jalan-jalan perlu diturap semula. Selain itu, jalan perajurit Taman Ipoh Timur yang sekarang telah menjadi jalan utama erlu diturapkan semula secara keseluruhannya. Saya berharap bahawa suatu jaminan diberikan oleh MBI untuk melaksanakan kawasan-kawasan tersebut. Harap MBI tahu bahawa penurapan secara “patching up” untuk kawasan-kawasan tersebut adalah tidak memadai.

Keamanan dan Keselamatan – masalah jenayah

Masalah jenayah merupakan satu masalah yang menghantui rakyat sekarang ini. Kita sedia maklum bahawa Ipoh sekarang adalah digeruni dengan gejala jenayah. Masalah jenayah yang begitu serius dan rampant sehinggalah rakyat tidak berasa selamat bukan sahaja di atas jalan, tetapi juga apabila berada di dalam rumah sendiri!

Baru-baru ini masalah jenayah di kawasan saya terutamanya kawasan berdekatan Taman Ipoh Timur adalah amat serius. Dalam satu minggu yang lepas terdapat sekurang-kurangnya 2 case pecah cermin kenderaan, satu ke rompakan dengan senjata dan satu snatch kes. Hanya pada minggu lepas, beberapa orang cuba menceroboh rumah jiran saya pada pukul 12 tengahari dan ia dirakam dalam CCTV!

Salah satu punca yang dikenalpasti adalah kekurangan anggota untuk menjaga suatu kawasan yang begitu besar, iaitu Balai Polis Bercham terpaksa bertanggungjawab untuk kawasan termasuk kawasan Bercham dan Taman Ipoh Timur yang projek perumahan adalah begitu maju. Pihak polis harus mengaturkan lebih ramai peronda untuk menjalankan rondaan yang lebih kerap, dan juga mengkaji cadangan untuk membahagikan kawasan kepada 2 unit balai polis yang berasingan, dengan menambahkan satu balai polis khasnya untuk Taman Ipoh Timur. Untuk penyelesaian jangka masa pendek, adalah dapat membantu sekiranya pondok polis dapat ditubuhkan di kawasan yang sibuk di Taman Ipoh Timur.

Untuk menangani masalah, saya memohon supaya Ketua Polis Negeri dapat mengaturkan satu dialogue bersama untuk mencari jalan penyelesaian. Pada masa yang sama, saya juga berharap bahawa pihak berkuasa tempatan dapat memberikan panduan kepada penduduk-penduduk yang ingin membina pondok kawalan sendiri dengan palang halangan di kawasan perumahan untuk mengurangkan masalah jenayah.

Pemberian Peruntukkan kepada semua Ahli Dewan

Saudara saya dari kawasan Teja pada hari semalam telah membangkitkan isu berkenaan dengan peningkatan elaun bagi ahli-ahli YB sekalian. Di sini, izinkan saya mencadangkan bahawa, demi membolehkan ahli-ahli YB di sini untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, saya ingin mendapatkan satu komitment daripada rakan-rakan sejawat di sebelah sana dan di sebelah sini, bahawa tidak kira PR atau BN yang memenangi pilihanraya yang akan datang, peruntukkan bahkan daripada Kerajaan Persekutuan ataupun Kerajaan Negeri yang sama haruslah diberikan kepada mereka yang terpilih tanpa mengikut parti yang diwakili. Dengan adanya peruntukkan tahunan yang tetap, maka sebahagian masalah-masalah rakyat dapat diselesaikan tanpa perlu dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan dan ini dapat mengurangkan beban bah dari Ahli-ahli YB ataupun pihak berkuasa tempatan.

Saya selalu mempercayai bahawa ini adalah polisi yang harus dilakukan, dan keputusan pemilihan rakyat haruslah dihormati. Biarlah kita sama-sama mencapai sesuatu yang bermakna dan bermanfaat sebelum berakhirnya tempoh kita menjelang PRU-13.

1Malaysia? Malaysian First, Race Second?

Perkara terakhir yang ingin saya bangkitkan adalah berkenaan dengan Gerai 1Malaysia. Rakan saya dari Teja menyatakan bahawa perkataan 1Malaysia itu “sui”, tetapi saya lebih mengambil berat suatu masalah di hadapan kita adalah, apakah maksud sebenar 1Malaysia? Berapakah ramaikah rakan di sebelah sana yang betul-betul mengangkuhkan (really appreciate) konsep sebenar?

Apabila kita melaung-laungkan konsep 1Malaysia, kita masih boleh nampak bagaimana isu-isu dan kenyataan perkauman dibangkitkan. Dato’ Ahmad Ismail yang membangkitkan isu “balik Negara Cina” masih diterima dengan tangan terbuka oleh UMNO. Menteri pula menuduh warga Cina dan India tidak patriotic. Apa yang terjadi dengan konsep 1Malaysia?

Saya mempunyai satu impian, satu impian yang mana Negara kita pada suatu hari nanti, Negara ini akan bangun, dan melaksanakan maksud sebenar yang mana kesemua insan adalah dilahirkan samarata. Saya mempunyai satu impian, apabila anak cucu saya dalam suatu hari nanti, tidak lagi akan dibezakan dengan warna kulit, tetapi dengan kandungan perangai mereka. Saya mempunyai satu impian, bahawa suatu hari nanti, kesemua rakyat boleh dengan bangganya mengisytiharkan mereka sebagai “rakyat Malaysia” yang sebenar.

Apabila konsep 1Malaysia dimartabatkan oleh rakan saya di sebelah sana, saya ingin mencabar rakan-rakan di sebelah sana, untuk membuat pengisytiharan bahawa diri sendiri adalah “Malaysian First, race Second”.

Saya mengistiharkan saya sendiri di sini, Saya adalah “Malaysian First, Chinese Second”.

Kesimpulan

Saya selalunya percaya terhadap apa yang dinyatakan: “ta’muruna bi al-ma’ruf wa tanhawna ‘an al-munkar”. O you who belive! You are the best of mankind, enjoining what is right and forbidding what is wrong”. Biarlah kita sama-sama mendokong segala yang benar dan mengelakkan segala yang salah demi memelihara mandate yang diberikan oleh Rakyat dalam pilihanraya 308 yang lalu.

Salam Ketuanan Rakyat, salam “Malaysian first, race second”

Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan