TEKS UCAPAN YB TUAN NGA KOR MING SEMPENA PERBAHASAN BAJET NEGERI PERAK TAHUN 2012
Salam sejahtera TYP. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada TYP kerana memberi keizinan untuk saya mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang enakmen perbekalan dan belanjawan Negeri untuk tahun 2012. Saya bangun untuk membahas bajet penting ini kerana ia kemungkinan besar akan menjadi bajet terakhir untuk BN. Sebagai mukadimah, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Pangkor kerana pembentangan bajet kali ini telah “Berjaya” mencatat sejarah dan mencipta rekod Negeri Perak paling kurang dalam 4 aspek.
Pertama, bajet deficit setinggi RM50.14 juta ini adalah bajet defisit yang paling tinggi sepanjang 3 penggal saya berada dalam Dewan yang mulia ini. Jika dibandingkan dengan tahun ini, deficit RM50.14 juta adalah satu peningkatan yang mendadak sebanyak RM20.45 juta, satu keadaan yang tidak mungkin membanggakan kita yang penuh bertanggungjawab, kecuali pihak tertentu yang masih Gila di abun-abun dan terus bersikap angan-angan Mat Jenin.
Kedua, paras hutang Negeri kini telah mencipta sejarah paling teruk dengan jumlah hutang Negeri meningkat ke RM975 juta setakat 15/11/2011; ia satu pertambahan sebanyak RM72 juta dalam tempoh 12 bulan jika dibandingkan dengan jumlah hutang tahun lepas yang berjumlah RM903.8 juta. Jumlah wang ini adalah lebih banyak dari segala skim kerajaan untuk kesejahteraan rakyat termasuk skim micro credit, program bantuan rumah, program bantuan barangan makanan, program bantuan wang tunai musim perayaan, skim Tabaruk dan program kluster Ekonomi Keluarga yang kesemuanya hanya berjumlah 19 juta sahaja. Jika mengambil hutang untuk memberi gula-gula tanpa menimbangkan akibatnya, ia adalah cara peny wise, pound foolish.
Yang lebih merisaukan rakyat adalah kecenderungan ledakan hutang yang semakin menggunung dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini bermula dari zaman YB Pengkalan hulu menjawat jawatan Menteri Besar. Hutang Negeri telah menaik dari RM182 juta pada tahun 2000 hingga ke RM975 juta pada tahun ini. Jumlah hutang ini adalah kenaikan sebanyak 535%. Jika ada lagi pihak yang masih membisu atau memilih untuk berpura-pura, saya rasa mereka perlu insaf dan kembali ke pangkuan jalan. Bah kata pepatah Melayu, Jika tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah.
Adalah tanggungjawab wakil kerajaan untuk memberi penjelasan penuh mengapa hutang negeri telah berganjak sebanyak RM72 juta dalam tempoh yang begitu singkat. Apakah tujuan wang itu dibelanja? Siapa yang memperolehi manfaat? Kesemua ini perlu diberikan penjelasan penuh kerana segala pinjaman yang diambil oleh kerajaan pada hari ini akan dibayar oleh segenap lapisan Rakyat Negeri yang tercinta ini pada hari esok. TYP, jangan lupa wang rizab kerajaan negeri jika mengikut nilai buku, jumlahnya hanya RM758 juta, perbezaan dengan hutang negeri adalah RM217 juta, satu jurang perbezaan yang besar dan beban yang berat. Saya ingin mengingatkan kepada kerajaan BN bahawa ‘Gunung yang tinggi akan runtuh jika setiap hari digali’. Biar bagaimana sekalipun banyaknya harta itu ia akan habis juga jika selalu dibelanjakan dengan boros dan tidak ada usaha untuk menambahkannya.
Kemelut kewangan yang sedang melanda kerajaan persekutuan barangkali harus dijadikan ikhtibar oleh kerajaan Negeri jika kita tidak ingin menggadaikan masa depan anak cucu kita. Saya mengimbas kembali pada 1997, iaitu tahun apabila Asia Tenggara dilanda musibah krisis kewangan, ketika itu Malaysia menanggung hutang sebanyak RM90 billion, tetapi dalam tempoh yang begitu singkat, hutang Negara kita telah melonjak ke paras RM450 billion menjelang bulan depan. Ini adalah satu peningkatan mendadak sebanyak 504% dalam tempoh kurang dari atu setengah dekad. BN boleh terus bersikap katak dibawah tempurung tetapi kini rakyat telah celik dan tidak akan dilembukan oleh Kondo lembu seperti yang terjadi dalam skandal National Feedlot Centre(NFC) baru-baru ini.
Ketiga, bajet kali ini juga menyaksikan perbelanjaan jumlah wang paling besar dalam sejarah kita. Kos perbelanjaan sebanyak RM915 juta adalah satu jumlah yang besar dan jika tidak ditangani dengan berhemah dan berwaspada, dengan kemungkinan enakmen perbekalan yang bakal kita saksikan, perbelanjaan kita dengan mudah akan melepasi paras RM1 billion dengan deficit yang lebih besar.
Keempat, bajet ini juga mempamerkan jumlah tunggakan cukai tanah yang semakin berat sehingga menjadikan slogan kerajaan Negeri “Tunggakan Sifar” bahan ketawa yang sinis tetapi pahit. Dalam bajet kali ini, ia jelas menunjukkan bahawa tunggakan cukai tanah pada tahun 2012 akan berjumlah RM59.69 juta. Ini merupakan satu peningkatan lebih 100% jika berbanding dengan tahun ini yang berjumlah RM29.69 juta. Ini terbukti terdapat kepincangan dari pengurusan kewangan kerajaan negeri BN dan displin kewangan perlu diperketatkan.
SETINGGAN SIFAR JADI “KOSONG’
TYP, Kerajaan BN memang terkenal dengan pelbagai slogan dan wacana omong kosong untuk melanjutkan taliah hayat politik mereka yang kini tinggal nyawa ikan sahaja. Dulu Dr Mahanthir tersohor dengan slogan “ Bersih, Cekap, Amanah’ , kemudian disusuli dengan Pak Lah “ cemerlang, gemilang dan terbilang’ dan kini pula dengan laungan “ Sapu Malaysia”, kesemuanya terbukti Jauh menyalak kuat, dekat mencawat ekor. TYP masih ingat lagi pada 1999, ketika itu YB Pengkalan Hulu yang menjadi MB telah melancarkan kempen “Setinggan Sifar” menjelang 2005. Apa sudah terjadi? Kini bajet 2012 masih giat menyebuk setinggan sifar, malahan masih terdapat 4288 keluarga setinggan yang terpaksa menetap dan mendiami tapak secara tanpa izin. Kempen kerajaan yang bersikap hangat-hangat tahi ayam ini telah menjejaskan kewibawaan dan keyakinan rakyat terhadap BN yang kian hilang popularitinya. Lihatkan kempen “ Inflasi Sifar”, “Tunggakan Sifar” dan “Setinggan Sifat”, semuanya serba tidak menjadi kerana kepimpinan BN yang lemah dan tamak.
KONTINJEN PERAK MENDUDUKI TEMPAT TERAKHIR DI SUKMA
TYP, apabila pemimpin BN sibuk mengampu dan puji sendiri, Negeri Perak terus merosot dibawah pimpinan BN yang penuh dengan rhetoric dan hilang hala tuju. Sebgai bukti, mutu sukan Negeri kini telah menjunam ke tahap yang membimbangkan. Kontinjen Negeri pada tahun ini menduduki kedudukan paling bawah pada sukan SUKMA tahun ini, skuad negeri kalah kepada semua Negeri termasuk semua Negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat, ini adalah satu prestasi yang paling teruk sepanjang sejarah SUKMA. Jelas EXCO sukan gagal menepati KPI yang disasar dan oleh ini, saya dengan berat hati mencadangkan : Exco sukan dipotong gaji satu bulan sebagai tanda memikul tanggungjawab atas prestasi hamper tersebut supaya ia dijadikan satu ikhtibar.
PERAK PALING RAMAI KELUARGA MISKIN
Selain itu, walaupun YB Pangkor berwar-war bajet ini merangkumi segala aspek disusuli Pengkalan Hulu bahawa ini bajet is the best ever bugget , sebaliknya mengikut Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Negeri Perak kini mempunyai paling ramai bilangan keluarga yang berpendapatan rendah diseluruh Malaysia. Mengikut EPU, Negeri Perak kini mempunyai sejumlah 192,000 buah keluarga yang mempunyai pendapatan bulanan kurang dari RM2300 satu bulan, jumlah tersebut adalah sebanyak 12.2 % dari semua keluarga yang berpendapatan rendah. Jumlah tersebut adalah paling ramai diseluruh tanahair kita. Ini jelas terbukti selepas 54 tahun dibawah BN, bukan sahaja BN gagal menerajui negeri kita menuju ke paras pendapatan yang bermaruah sebaliknya ramai rakyat kita masih hidup melarat khususnya orang Melayu.
Peruntukan Hal Ehwal Bukan Islam jatuh dari RM8 juta ke RM3.5 juta
TYP, walaupun kerajaan BN bermegah dengan gagasan ulung 1 Malaysia, tetapi acuannya sama, bentuknya tetap tidak berubah. Sebagai contoh, dalam bajet ini peruntukan kepada hal ehwal bukan Islam telah merosot dari RM8 juta seperti yang diumumkan oleh YB Chenderiang dan kini menyusuk sehingga RM3.5 juta sahaja dan ia termasuk RM500 ribu untuk masyarakat Sikh. Peruntukan sedikit ini tidak memadai untuk menampung keperluan masyarakat bukan Islam memandangkan bilangan penduduk Negeri Perak bukan Islam adalah lebih kurang 51% dari jumlah penduduk yang sedia ada. Kejatuhan dan kemerosotan yang ketara ini menunjukkan bahawa BN mengamalkan sikap talam dua muka dan parti MCA, MIC dan Gerakan yang memilih membisu seribu bahasa terbukti mereka hanya boneka kepada UMNO sahaja.
Kemudahan infrastruktur perlancongan perlu dipertingkat
TYP, saya rasa terpanggil untuk membangkitkan isu tahun melawat Perak 2012 yang telah menetapkan sasaran 5 juta orang pelancong yang diunjur untuk membawa pendapatan 5 billion kepada KDNK Negeri kita. Perlu diingatkan walaupun kerajaan Negeri memperuntukkan 18 juta untuk tujuan menjayakan kempen ini tetapi apa yang lebih penting adalah Perak benar-benar live up to its reputation as The State of nature, culture & heritage sebagaimana dipamerkan oleh Tourism Perak. Yang membimbangkan saya adalah kemudahan asas destinasi perlancongan yang banyak terbengkalai dan tidak menepati namanya. Saya risau jika kerajaan tidak mengambil tindakan segera, pelancong yang datang melawat Perak bukan membawa pulang senyuman manis tetapi kenangan pahit kerana mereka akan rasa tertipu dengan kemudahan asas yang banyak berupa gajah putih.
Projek Cable Car Bukit Maxwell tinggal bayang sahaja
Sebagai contoh, semasa lawatan saya ke Bukit Maxwell, Taiping, satu destinasi perlancongan yang mengasyikkan hati kini telah menyayakkan hati. Sebagai destinasi perlancongan utama di Daerah Larut Matang, dan Selama, ia hanya mempunyai 2 buah kereta jip dengan 2 orang pemandu. Saya mendapati sekurang-kurangnya terdapat 4 projek Gajah Putih yang menghanguskan wang rakyat. Umpamanya Rumah makan angin yang dibina dengan kos RM3 juta kini dibiarkan usang dan penuh dengan semak samun sehingga menjadi sarang semut. Tea Garden namanya cantik tetapi dak Nampak ada tanaman Teh dan rumah rehat terbengkalai sejak lebih 2 tahun dahulu. Tambahan lagi, taman bunga Tulip yang dahulunya diwar-warkan oleh kerajaan kini bertukar wajah jadi tapak tanaman kaktus tanpa sekuntum bunga Tulip. Kini tapak tersebut seolah-oleh menjadi harta syarikat kroni kononnya dengan sewa RM1 sahaja tetapi kerajaan dan rakyat tidak mendapat sebarang manfaat. Yang lebih menyayatkan hati adalah Observation Desk yang sepatutnya dijadikan tarikan pelancong kini bertukar wajah jadi bangunan merbahaya sehingga papan bangunan runtuh dan hancur. Bayangkan apabila pelancong luar Negara membaca risalah Tourism Malaysia yang penuh gambar berwarna-warni tetapi hakikat sebenar adalah menghampakan, mereka akan berasa tertipu dan Reputasi Negeri kita akhirnya akan menerima padah.
TYP, demi pembangunan perlancongan di Bandaraya Warisan Taiping yang juga diwakili oleh saya, saya ingin memohon satu penjelasan penuh tentang kedudukan sebenar projek pembinaan kereta kabel di Bukit Maxwell. Walaupun YB Pangkor pernah membuat pengumuman bahawa kereta cable yang menelan kos RM60 juta akan bermula tahun ini tetapi sehingga saat ini segalanya tetap dengar bunyi, tiada bayang. Apakah benar pemaju yang dipilih oleh BN tidak berupaya membinanya kerana tidak cukup modal? Apakah benar jika tidak cukup modal, mengapa kerajaan BN membuat keputusan memilih syarikat tersebut? Semua warga Taiping kini menunggu jawapan dari kerajaan untuk kisah benar.
TYP, Selain itu, Lihatlah juga kepada kompleks Sejarah Pasir Salak yang cuba mengagong-agongkan bekas MB Ramli Ngah Talib dan Riverine Resort yang BN belanjakan lebih RM56 juta. Bagaimana keadaannya sekarang? Berapakan pendapatan yang dijanakan dari projek tersebut?
TYP, memandangkan keadaan di atas, sukacita saya cadangkan jumlah RM18 juta ini diagihkan sebahagian besarnya untuk memperbaiki dan memulihkan infrastruktur kemudahan awam di semua destinasi perlancongan dan bukan membelanja dengan boros dengan promosi iklan sahaja yang tidak mencerminkan keadaan sebenar. Seperti pengumumam YB Sg Rapat, bahawa beliau menyatakan kerajaan akan belanja wang rakyat menghantar kontinjen makan angin memanjat Gunung Kota Kinabalu dan memacukan bendera Perak atas gunung tersebut sebagai tanda promosi Tahun Melawat Perak. Gimick sedemikian tidak akan membawa manfaat kepada Perak sebaliknya ia adalah satu pemborosan wang rakyat yang tidak masuk akal.
Mengikut Laporan Ketua Audit Negara, terdapat sekurang-kurangnya 8 projek Gajah Putih bernilai RM22 juta dalam Negeri kita dan jika termasuk jeti dekat Pangkor yang menelan RM28 juta, jumlah RM50 juta ini sebaik-baiknya jika dibelanja dengan penuh berhemah, Negeri kita tidak akan ada belanjawan defisit sebaliknya kita akan mempunyai belanjawan seimbang. Pembaziran demi pembaziran dan pemborosan yang ketara kini telah mendatangkan kegawatan kewangan yang terpaksa dipikul oleh kita semua.
Cadangan Pembangunan DUN Pantai Remis
TYP, memandangkan bajet kali ini memperuntukkan sejumlah RM321 juta tabung pembangunan, demi kesejahteraan rakyat dan kemudahan penduduk Ayer Tawar yang diwakili oleh saya, sukacita saya mencadangkan bahawa kerajaan memyambunng semula pembinaan jalan di jalan Api Kong sehingga ke Batu 16 di belakang pecan besar Ayer Tawar. Pembinaan jalan tersebut pernah diluluskan oleh kerajaan PR dan anggaran kos oleh JKR adalah RM5 juta. Pembinaan jalan tersebut akan membawa impak besar kepada kawasan Ayer Tawar dan rakyat akan mengenang jasa kerajaan kerana tidak memilih bulu walaupun ia adalah cadangan konstruktif dari wakil rakyat PR. TYP, memandangkan bajet kali ini adalah begitu tinggi, saya rasa adalah adil dan setimpal bahawa projek mencegah banjir dan pembinaan People’s park dan Speaker corner yang pernah dicadangkan diteruskan di padang awam sebelah SMK Ayer Tawar. Ia adalah satu projek berkepentingan awam & berpandangan jauh supaya penduduk Ayer Tawar bebas dari mala petaka Banjir yang sudah lama merunsingkan.
TYP, kerajaan BN sentiasa menekankan bahwa mereka pentingkan Demokrasi dan bukan Demonstrasi, tetapi terbukti corak pentadbirannya jauh dari menepati janji. Saya bagi contoh, semasa pemerintahan PR, kita kembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih ketua kampong di semua 817 buah kampong Melayu Tradisonal dimana sekitar 30% juga dimenangi oleh warga kampong yang menyokong UMNO. Sistem Pemilihan Ketua Kamping ini terbukti PR komited untuk menganjurkan konsep demokrasi walau sehingga ke peringkat akar umbi. Bagaimanapun, setelah berlakunya rampasan kuasa pada Februari, 2009, kerajaan UMNO-BN yang zalim telah memecat semua ketua kampong yang dipilih oleh rakayat dan sebaliknya digantikan sistem perlantikan yang bercorak kuku besi dan untuk kuncu-kuncu dan hulu baling UMNO sahaja. Pemecatan ketua kampong tanpa sebarang pampasan kepada mereka yang mendapat mandate rakayat adalah satu perbuatan yang zalim dan menjijikkan. Apakah salah mereka? Adakah mereka rasuah? Rompak? Curi? Semuanya tidak tetapi mereka tetap dipecat kerana tidak menyokong UMNO.
TYP, BN sanggup membuang duit rakyat demi kerakusan mereka untuk kekalkan kuasa mereka. Sebagai contoh, untuk 5 negeri yang diperintah oleh PR, walaupun sudah wujud system JKKK yang setelah kian lama wujud, BN mewujudkan system dua kuda dengan mengadakan JKKP dan tindakan sedemikian telah memecah belahkan warga kampong dan mengakibatkan rakyat menanggung kos tambahan yang sepatutnya boleh dijimatkan. Umpamanya kerajaan terpaksa membayar RM603 juta imbuhan dan emolument kepada semua 15,291 Ketua Kampung JKKP dan JKKK. Jika BN menghormati mandat rakyat, jumlah besar ini boleh dijimatkan dan disalurkan untuk pembangunan Negeri.
Sebagai natijah, belanjawan ini bukan bajet omong kosong, ini bukan bajet angan-angan, juka bukan bajet yang menjanjikan bulan dan bintang dan ia semestinya bukan bajet buku jingga. TYP, Ini adalah bajet Defisit beri gula, bajet pancing undi, bajet angkat hutang untuk memperdayakan rakyat, ini bajet pilihanraya dan ini bajet yang akan memenangkan Pakatan Rakyat, Insya Allah.
Sekian, Terima Kasih. Saya menyusul tidak menyokong usul yang sebegitu rupa.
Nga Kor Ming
Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Pantai Remis
23/11/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan