Kenyataan Media YB V.Sivakumar pada 11 Jun 2011 di Batu Gajah.
Diskiminasi Sekolah Bantuan Modal di 1Malaysia
MIC gagal melindungi sekolah-sekolah Tamil di negara ini. Pada tahun 1957 terdapat 888 sekolah Tamil di seluruh pelusuk negara. Tetapi hari ini hanya terdapat 523 sekolah Tamil.Dalam tempoh 54 tahun sejak merdeka 365 sekolah Tamil telah hilang dari bumi ini. Daripada 523 sekolah Tamil yang ada sekarang 372 buah sekolah merupakan sekolah bantuan modal. Hanya 151 sekolah Tamil ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Dalam kata lain, hanya 28.8% daripada jumlah sekolah Tamil yang ada mendapat bantuan penuh daripada kerajaan. Baki 71.2% sekolah Tamil di negara ini telah dianak tirikan oleh kerajaan Barisan Nasional. Inilah pencapaian MIC yang dibangga-banggakan oleh pemimpinnya.
Apakah akan berlaku kepada sekolah-sekolah Tamil yang sedia ada dalam tempoh 50 tahun akan datang? MIC tidak boleh mempertahankan kedudukan sekolah-sekolah Tamil di negara ini. Jika kerajaan membawa cadangan untuk menghapuskan sekolah-sekolah vernakular, pemimpin-pemimpin MIC yang juga merupakan ‘pak angguk’ kepada UMNO akan terus mengangkat tangan untuk menyokong cadangan itu. Mereka tidak mempunyai sejarah ‘melawan tauke’. Mereka akan menggadai maruah dan kepentingan orang-orang India untuk mempertahankan kedudukan politik mereka.
Pada tahun 2000, bekas Menteri Pelajaran pada masa itu, Musa Mohamad menyatakan bahawa sekolah-sekolah Tamil adalah tanggungjawab komuniti itu sendiri dan bukannya tanggungjawab kerajaan. Apakah reaksi pemimpin-pemimpin MIC ketika itu? Kenyataan yang dibuat oleh menteri itu adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 12 (1)(b) :
Dengan tidak menyentuh keluasan makna Perkara 8, tidaklah boleh ada perbezaan terhadap mana-mana jua warganegara semata-mata oleh sebab agama, kaum, keturunan atau tempat lahir tentang memperuntukkan bantuan kewangan dari wang sesuatu pihak berkuasa awam untuk tanggungan murid-murid atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana yayasan pendidikan.
Perkara 12(1)(b) Perlembagaan Persekutuan ini menjelaskan bahawa tidak boleh ada diskriminasi dalam memberi bantuan kewangan dari segi ‘tanggungan kepada semua murid-murid’. Bantuan itu seharusnya merentasi kaum dan agama. Ini juga merangkumi bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada sekolah-sekolah Tamil. Tetapi, kerajaan Barisan Nasional telah menganak-tirikan sekolah-sekolah Tamil. Masih terdapat sebilangan besar sekolah-sekolah Tamil yang hanya memperolehi bantuan modal daripada kerajaan tanpa menghiraukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak memberi ruang kepada diskriminasi terhadap mana-mana sekolah tetapi dalam pelaksanaan polisi kerajaan perkara itu telah diabaikan. Jika kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi, maka sekolah-sekolah bantuan modal sudah lama dinaik taraf kepada sekolah-sekolah bantuan penuh. Tetapi, perkara ini tidak dilaksanakan sehingga ke hari ini. Sekolah-sekolah bantuan modal kekal sebagai sekolah kelas ketiga dan tidak dipedulikan oleh kerajaan ini.
MIC tidak dapat mengubah status sekolah-sekolah bantuan modal kepada bantuan penuh. Adakah Presiden MIC Datuk Palanivel juga bersetuju dengan dasar kerajaan untuk mengekalkan status sekolah-sekolah bantuan modal ini? Jika tidak, apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh beliau dan kerajaan dalam mengatasi masalah sekolah-sekolah bantuan modal? Beranikah MIC memberi jaminan untuk mengubah status semua sekolah-sekolah bantuan modal kepada sekolah-sekolah bantuan penuh sebelum Pilihanraya Umum ke 13? Sudah semestinya MIC tidak akan berani membuat jaminan sedemikian.
Pemimpin–pemimpin MIC tidak arif untuk menuntut hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Mereka menghangatkan bangku semata-mata untuk mengaburi mata rakyat seolah-olah kerajaan Barisan Nasional prihatin terhadap masalah sosio-ekonomi kaum India di negara ini.
Untuk sekolah-sekolah bantuan modal, ibubapa dan orang awam perlu membina bangunan dan menyelenggarakannya. Kerajaan hanya menyediakan guru-guru untuk sekolah tersebut. Adakah ini wajar? Dalam 1Malaysia yang diwar-warkan oleh kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak, terdapat dua aliran atau sistem untuk sekolah-sekolah Tamil.
Apakah salahnya kerajaan membiayai penuh semua sekolah-sekolah Tamil di negara ini. Masyarakat India yang hidup sederhana di negara ini tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan sekolah-sekolah Tamil bantuan modal ini. Perbelanjaan ini harus ditanggung oleh kerajaan, tetapi dengan kebijaksanaan ‘tai chi’ Barisan Nasional beban itu telah dialihkan ke atas bahu masyarakat India itu sendiri.
MIC seharusnya berasa malu apabila pergi mengutip derma daripada orang ramai untuk membantu sekolah-sekolah bantuan modal ini. Pemimpin-pemimpin parti itu sepatutnya mendapatkan peruntukan sepenuhnya daripada kerajaan persekutuan untuk semua sekolah-sekolah Tamil di negara ini. Mengutip derma daripada orang ramai itu sendiri membuktikan bahawa MIC tidak cekal hati menuntut hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan , malah menujah dan menipu masyarakat India kerana kedayusannya. Walau bagaimanapun kaum India hari ini sudah melihat permainan ‘kerdip mata’ diantara pemimpin-pemimpin UMNO dan MIC.
V.Sivakumar
ADUN Tronoh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan